Pelumba Shell terus unggul
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my
BERAKHIRNYA pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta 2008 di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu lalu menyaksikan pasukan Shell Advance Maju Motor Racing mendominasi tempat pertama kategori Expert dan Novis.
Kelas Expert menyaksikan pelumba adik-beradik, Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham meraih kedudukan 1-2 bagi meneruskan dominasi mereka musim ini.
Kejayaan pasangan adik-beradik itu membolehkan mereka memperoleh mata berharga untuk meninggalkan pesaing pasukan terdekat yang gagal menyekat penguasaan pelumba terbabit.
Fazli Sham kini mengumpul 131 mata, 15 mata mengatasi Fazrul dan perlumbaan seterusnya di Kangar minggu hadapan bakal menyaksikan sama ada Fazrul Sham mampu menewaskan abangnya sekiranya berjaya memenangi tempat pertama.
Bagi kelas Novis pula, persaingan semakin sengit apabila Abdul Muhaimin Roslan menjuarai kategori berkenaan, seterusnya berada di tangga teratas senarai pelumba kelas terbabit.
Muhaimin hanya mendahului tiga mata berbanding lawannya dan baki dua lagi perlawanan termasuk yang terakhir di Sepang.
Sementara itu, bermula tahun hadapan, pasukan Shell Advance Maju Motor Racing akan dikenali sebagai pasukan Shell Advance.
|
|