Dua pelumba Shell Advance unggul
SELEPAS mengharungi sembilan pusingan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta 2008, pasukan Shell Advance kini boleh menarik nafas lega apabila kedua-dua pelumba kelas Expert mengungguli dua tempat teratas kategori berkenaan.
Selepas perlumbaan di Stadium Utama Kangar minggu lalu, pelumba Shell Advance, Ahmad Fazli Sham mendahului dengan 144 mata dan diekori rapat Ahmad Fazrul Sham yang hanya ketinggalan 18 mata di belakang abangnya.
Pusingan terakhir di Litar Sepang Utara pada 7 Disember ini menyaksikan 25 mata maksimum untuk dikumpulkan.
Sekiranya Fazli Sham berjaya mengekalkan tempat teratas kategori Expert, bermakna dia akan mengecapi kejayaan kedua berturut-turut dalam kelas utama itu selepas bergelar juara musim lalu.
Bagaimanapun, sekiranya Fazrul Sham berjaya menjuarai pusingan terakhir itu, sudah pasti memberi makna yang bersejarah terhadap pelumba muda itu.
Walau apapun yang berlaku, pasukan Shell Advance kini sudah mampu tersenyum kerana seorang daripada dua pelumba terbabit sudah pasti akan menghadiahkan mahkota kejuaraan itu buat pasukan mereka sekali lagi.
Seorang lagi wakil Shell Advance Maju Motor, Abd Muhaimin Roslan juga buat pertama kalinya sejak Pusingan pertama di Taiping berjaya membuka ruang lebih 15 mata berbanding pencabar utamanya, Md Emir Firdaus Hassan.
|
|