Nissan Navara 'ibu segala trak'
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my
 |
SELEPAS seminggu dilancarkan, penulis diberi peluang menjadi orang pertama memandu uji kenderaan pikap terbaru Nissan dikenali Navara. |
SELEPAS seminggu dilancarkan, penulis diberi peluang menjadi orang pertama memandu uji kenderaan pikap terbaru Nissan dikenali Navara.
Navara adalah jentera pikap bersaiz penuh yang memiliki casis sama seperti saudara kembarnya, Titan yang laris di pasaran Amerika Syarikat.
Tidak hairanlah Navara memiliki saiz fizikal lebih lebar, panjang dan paling berkuasa dalam kelas 2,500 cc.
Trak ini digelar 'ibu segala trak' oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) yang membawa masuk model itu ke negara ini.
Sepanjang 5,230 milimeter (mm) dan 1,850 mm lebar, Navara adalah trak yang tegap dan besar.
Gril hadapan yang lebar dengan hiasan palang krom menjadikannya tampak gagah, ditambah lampu hadapan projektor HID yang canggih.
Bahagian sisi dilengkapi pemijak sisi bagi memudahkan pemandu dan penumpang keluar masuk selain menjadi penghadang kepada bahagian tepi Navara.
Bagaimanapun, bahagian belakang lebih berciri klasik bagi jentera trak iaitu lampu belakang memanjang dan ruang kargo seluas 1,480 x 1,494 mm.
Navara tidak didatangkan dengan palang belakang, menjadikan ruang belakang tampak kosong dan kurang menarik.
Ruang dalamannya tidak menggambarkan kenderaan untuk kegunaan lasak.
Ruang dalaman berwarna cerah selebar 3,300 mm persegi menjadikan kenderaan pikap lima tempat duduk yang selesa, ditambah pula salutan kulit pada kerusi dan stereng.
Sepanjang tempoh pandu uji, penulis mendapati terdapat lapan konsul menempatkan botol minuman.
Papan pemuka ringkas dengan butang kawalan audio dan penghawa dingin berwarna perak menjadikannya lebih eksklusif.
Pemilik Navara hanya perlu memulas tombol sistem pacuan empat roda (4WD) yang dikawal secara elektronik bagi membolehkan penukaran mod pemanduan 2WD kepada 4WD tanpa perlu memberhentikan kenderaan walaupun ketika bergerak pada kelajuan 100 km/j.
Sepanjang pemanduan sama ada di lebuh raya atau laluan lasak, penulis kagum dengan tahap bunyi, gegaran dan kekasaran enjin (NVH) amat minimum.
Navara dijana enjin diesel YD25DDTi 'Common-rail Direct Injection' dengan 'Variable Nozzle Turbocharger' dan 'Intercooler' yang mampu menghamburkan kuasa maksimum sebanyak 174 ps dan tork maksimum setinggi 403Nm.
Sistem suspensi dianggap antara yang terbaik bagi kenderaan pikap kerana penulis kurang berasa 'terlompat-lompat' ketika melalui jalan tidak rata.
Daripada aspek keselamatan, model terbaru ini dibekalkan sistem Brek Anti Kekunci (ABS), Pengedaran Daya Brek Elektronik (EBD) beg udara berkembar.
Pembinaan 'Zone Body' dan beg udara SRS membantu melindungi pemandu dan penumpang ketika berlaku perlanggaran.
Dengan ciri keselamatan, kuasa dan keluasan yang ditawarkan, tidak hairanlah Navara menerima 24 anugerah di seluruh dunia sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.
Malah, ETCM memberitahu 300 unit pertama yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand habis ditempah.
Berharga RM103,721.90, Navara ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Supreme Black, Tungsten Silver dan Twilight Grey.
Nissan turut menawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer atau yang mana terdahulu kepada pembeli model terakhir Nissan bagi tahun ini.
SPESIFIKASI
Nissan Navara
ENJIN: Empat silinder selari 2,488cc Diesel Common-rail Direct Injection dengan Variable Nozzle Turbocharger dan Intercooler
KUASA MAKSIMUM: 174ps pada 4,000rpm
TORK MAKSIMUM: 403Nm pada 2,000rpm
TRANSMISI: Empat kelajuan automatik 4X4
CIRI KESELAMATAN: Dua beg udara SRS, ABS, EBD.
HARGA: RM103,721.90 (termasuk insurans)
Saiz tayar yang dicadangkan: Ameritrac P255/70R16 109S
|
|