Malam pertama bentuk insan kamil
Oleh Noriah Idris
USAHA melahirkan anak cemerlang bermula daripada satu pakej yang dicorakkan ibu bapa. Bahkan ibu bapa menjadi sekolah, rumah dan guru pertama kepada anak-anak, begitu pendapat pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah.
Dia yang juga pakar motivasi RKH Motivation & Services itu berkata, dalam usaha memenuhi aspirasi melahirkan anak cemerlang, ia harus bermula pada malam pertama selepas pasangan mendirikan rumah tangga. Ini dilakukan dengan iltizam hubungan pada malam itu adalah malam sahsiah ke arah merealisasikan impian berkenaan.
“Memilih pasangan sekufu adalah kehendak agama. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri berpesan kepada konsep lelaki baik untuk perempuan baik.
“Jika seorang bakal suami merancang untuk melahirkan insan yang baik daripada pasangannya, dia hendaklah mencari isteri yang memenuhi tuntutan itu iaitu dari segi fizikal, mental, latar agama serta pekerjaan yang baik seterusnya rezeki menjadi ‘penjerat’ terbaik ke arah melahirkan insan kamil.
“Jika tidak, kita bimbang punca rezeki yang tidak jelas di peringkat awal lagi akan memberi kesan besar kepada zuriat yang bakal dilahirkan kelak.
“Dalam proses mengandung, elakkan daripada melihat perkara yang tak elok atau perkara yang tak cantik dari segi peribadi. Jangan pergi ke tempat yang tak elok yang mungkin boleh mempengaruhi keperibadian anak kelak,” katanya.
Ketika mengandung, bakal ibu disarankan membaca surah Maryam dan surah Yusuf dengan niat supaya anak dilahirkan dengan baik. Ia turut melahirkan jiwa anak yang seimbang dengan emosi yang sihat dan fizikal mantap.
Selepas zuriat dilahirkan, ibu bapa juga perlu memikirkan soal perancangan anak yang lain termasuk pengasuh dan pusat asuhan yang bakal menjadi sandaran ibu bapa bekerja untuk menjaga anak mereka.
Dr Robiah tidak menafikan ada sesetengah ibu bapa yang hanya memilih taman didikan kanak-kanak berdekatan rumah. Seharusnya bukan faktor jarak menjadi pilihan tetapi ibu bapa harus mengambil kira beberapa perkara seperti kandungan sukatan pelajaran, aktiviti, tenaga pengajar serta mereka yang berada di sisi anak.
“Jika bahasa yang digunakan ketika mengajar atau mereka yang berada di sekitar anak berkelakuan kasar, anak-anak juga mudah menjadi kasar. Jika di sekolah diajar cara berdoa, di rumah juga harus dilakukan perkara sama oleh ibu bapa atau keluarga.
“Selain itu, harus diambil kira siapa yang sentiasa di sisi anak-anak atau siapa yang bakal bercerita atau membacakan buku cerita untuk anak. Anak-anak akan ‘menyalin’ atau cepat mempelajari sesuatu daripada apa yang dilihat mereka,” katanya.
Ada segelintir ibu bapa yang hanya memikirkan lampin anak semata-mata sedangkan perancangan bijak harus bermula dengan asuhan yang baik.
“Anak-anak harus dipeta pemikiran mereka sejak kecil. Jika pop yang diajar, maka mereka akan jadi pop. Jika dibiasakan mendengar ayat-ayat Allah iaitu al-Quran dan terbiasa dengan perkara baik, anak-anak akan menolak muzik liar,” katanya.
Pelaku amat penting dalam membentuk acuan. Umpamanya, jika anak-anak biasa melihat ibu atau ayah sentiasa berdoa dan bersembahyang, anak-anak juga turut berdoa kerana mereka akan ikut pelakunya.
Ibu bapa yang sentiasa merangsang anak-anak dengan mengajar bersembahyang ketika usia dua atau tiga tahun, mereka lahir kelak sebagai anak yang seimbang.
“Kalau teras agamanya sudah ada, insya-Allah keimanannya tak akan cepat goyah. Jiwa yang kental, walau dicampak di mana juga, mereka tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif,” katanya.
DALAM usaha melahirkan anak yang bijak dan cemerlang, ia memerlukan satu proses berterusan. Pakar motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkenaan memperturunkan petua berikut ke arah melahirkan generasi yang baik:
- Tentukan dengan siapa anak berkawan, sama ada kawan dapat membantu atau ‘membantut’.
- Anak yang mantap akan membantu rakannya. Jika tidak kuat, dia juga akan buat apa yang dilakukan rakannya walaupun tahu perkara yang dilakukan tidak bermanfaat bahkan memudaratkan.
- Lihat apa bahan bacaan anak-anak. Sekiranya jenis bacaannya termasuk majalah yang kurang memberangsangkan atau terlalu banyak hiburan yang melekakan, ia harus dipantau.
- Pada usia anak tiga tahun, mereka sudah boleh diperkenalkan pada bahan bacaan. Dengan hanya lima minit sehari, perkenalkan mereka dengan bahan bacaan sebagai asas mengenal huruf dan melatih untuk membaca.
- Jika anak suka menonton televisyen, pembantu rumah harus berperanan menentukan waktu menonton selain menentukan rangkaian atau rancangan yang boleh ditonton.
- Cara makan, duduk mahupun mandi di rumah akan menjadi amalannya di sekolah.
|