'Sirih' daun kaduk istimewa
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
CARANYA seperti memakan sirih, cuma ia menggunakan daun kaduk yang dicampur dengan kacang goreng, udang kering, cili api, hirisan limau, kelapa kering dan bawang selain kuah. Sekali makan pasti anda mahu lagi.
Itulah keistimewaan pad pak ruam mit dari Thailand jika anda mengunjungi Saffron Brasserie di Ancasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur yang mempromosi festival makanan Asia bermula 17 hingga 28 November ini.
Anda boleh mencuba makanan dari lebih 10 negara dari Asia. Selain pad pak ruam mit, cita rasa unik salad papaya hijau dari negara itu juga enak.
Burma memperkenalkan makanan seperti pazun ngabuaang kyaw selain campuran udang yang menyelerakan, Kemboja dengan jenis sayuran atau salad dikenali dengan nama njum, manakala Korea membawa oi bok kum na mool iaitu sejenis masakan menggabungkan timun masak dalam satu ramuan menyelerakan.
Inilah masanya anda boleh menikmati ayam penyet dari Indonesia atau ayam palalah.
Penggemar sup boleh menikmati miso iaitu sejenis sup enak dari Jepun dan putu dari Filipina.
Buffet tengah hari disediakan antara jam 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seawal 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Harga, RM45++ (dewasa) dan RM33++ (kanak-kanak), ia memang berbaloi.
Pertanyaan, hubungi: 03-2026 6060 sambungan 7703 atau kunjungi: Ancasa Hotels & Spa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, P O Box 12700, 50786 Kuala Lumpur atau emel: reservation@ancasanet.com atau www.ancasa-hotel.com
|
|