Cenderahati unik
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com
 |
KREATIVITI yang tercerna daripada tangan berseni sering membuat hati teruja. Bahkan pesona dimiliki daripada kreativiti itu adalah sesuatu yang unik bagi mereka yang pandai menilainya. |
KREATIVITI yang tercerna daripada tangan berseni sering membuat hati teruja. Bahkan pesona dimiliki daripada kreativiti itu adalah sesuatu yang unik bagi mereka yang pandai menilainya.
Bagi cenderahati dihadiahkan buat seseorang, nilai kreativiti yang menjadi taruhan akan menjadi kenangan terindah.
Suatu kelainan SZA Resources menjadikan sesuatu cenderahati paling bererti dengan lakaran tersendirinya bukan saja sebagai barangan hiasan tetapi buah tangan buat insan istimewa.
Pemiliknya, Suzana Zainal Abidin, graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melakar sesuatu yang menarik untuk majlis pertunangan, perkahwinan, ulang tahun hari lahir atau apa saja yang menitipkan kenangan indah.
“Kebanyakan suka menjadikan cenderahati dengan menyimpannya buat kenang-kenangan.
“Menariknya, apa yang saya jual ini disebabkan keunikan cenderahati yang mungkin tiada pada orang lain.
“Inspirasi ini membuatkan ramai mula mengenali produk ini melalui sesuatu yang dizahirkan syarikat saya ini sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Syarikatnya menawarkan pelbagai cenderahati berbentuk bunga sabun, lilin wangi dan set berupa tuala yang terdiri daripada pelbagai warna menarik.
Kelainan yang dicetuskan membuatkan ramai teruja memilikinya. Keunikannya yang dijelmakan menerusi lilin cantik, berukir dan menyerupai elemen tertentu bagaikan mempunyai daya tarikan penuh pesona.
“Ada yang melihatnya buat pertama kali berasa pelik bagaimana inspirasi buah-buahan, kek, mufin atau kek cawan serta bentuk coklat yang seakan-akan kek sebenar.
“Dengan ilusi lilin yang sekali pandang begitu ‘menyelerakan’ pasti ada tersalah duga mengenai kelainan cuba ditampilkan.
“Melihat cita rasa masyarakat yang berbeza hari ini yang sukakan sesuatu lain daripada kebiasaan, menjadikan cenderahati berkonsep unik ini digemari.
“Jika selama ini dalam istiadat perkahwinan menjadikan bunga telur, potpuri serta pelbagai hiasan lain sebagai tanda ingatan, apa salahnya mencuba sesuatu yang berbeza kerana ilhamnya amat kreatif dan tersendiri,” katanya yang turut menyediakan tempahan menerusi laman web iaitu www.dinigifts.com.
|
|