Berita IT: Terengganu tuan rumah Java Jive 2008
Oleh Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
BERASASKAN tema Jadikan IT Kenyataan!, Sun Microsystems melancarkan pertandingan Java Jive 2008 kali ketiga dengan objektif membangunkan kemahiran perisian dan inovasi teknologi.
Pertandingan yang julung kali ini turut dilancarkan di Singapura dan Thailand, sementara Terengganu pula dipilih sebagai tuan rumah bagi pertandingan peringkat Malaysia.
Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) Terengganu, Ishamudin Hashim, berkata apabila dilantik sebagai tuan rumah pertandingan, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pertandingan berlangsung dengan lancar dan berkesan.
“Pertandingan ini bakal melahirkan kebijaksanaan dan suasana pendidikan yang bersemangat luar dari bidang pemikiran kita. Ia turut memberi peluang kepada peserta negara ini supaya berkongsi kemahiran dan inovasi yang tiada tandingannya,” katanya.
Terdahulu, pertandingan yang sama menarik minat seramai 47 kumpulan mewakili universiti, politeknik dan ITE di Singapura.
Dengan tema Jadikan IT Kenyataan! peserta digalakkan untuk mengenal pasti, membangunkan serta menyerapkan penggunaan IT ke senario semasa.
Objektif pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada peserta membawa ideanya ke arah inovasi dengan menggunakan Teknologi Java, NetBeans dan Sistem Operasi Solaris.
Pemgarah Pemasaran Sun Mikrosistem Asia Selatan, Chong Soon Cheong, berkata dengan wujudnya peserta dari Malaysia dapat mengubah bentuk teknologi akan datang.
“Uniknya pada pertandingan kali ini, peserta berpeluang untuk bekerjasama dengan mentor yang dipilih dari industri kesihatan.
“Peserta ditawarkan dengan pendekatan belajar dan pengalaman yang berharga dalam industri ini untuk membina dan mengatur penyelesaian akan datang,” katanya.
Pemenang bakal menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM2,400 dan iPod Touch.
Kumpulan yang menang akan mewakili negara untuk berhadapan dengan pemenang dari Singapura dan Thailand bagi merebut hadiah RM6,000 dan Nintendo Wii.
|
|