Strategi promosi Happy berkesan
BERSANDARKAN konsep 'Kami mahu semua orang bersama-sama berkongsi saat kegembiraan', Happy memilih tiga pelanggan prabayarnya sebagai pemenang pertandingan Saat-saat Kegembiraan.
Bani Hakim Sarbini dari Johor Bharu dipilih sebagai pemenang tempat pertama bagi penulisan blog manakala Nigel Sia Ling Wei dan Nurul Akmal Farid berkongsi tempat pertama bagi kategori video. Ketiga-tiga pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Ketua Personal Happy, CK Koay berkata, Happy mewujudkan satu pertandingan yang berlainan untuk mengukuhkan lagi interaksi serta perkenalan antara pengguna Happy.
“Kami tidak menjangka, pengguna Happy memberi respon memberangsangkan. Sejumlah 500 blog dan video diterima untuk pertandingan Saat-saat Kegembiraan ini yang berakhir pada 31 Mac 2008 lalu.
"Happy diterima baik dan menggalakkan sejak pelancarannya dan dijangka pelanggan Happy akan terus meningkat melalui promosi di laman web rasmi Happy,” katanya.
Menurut Koay, percubaan memperkenalkan kad prabayar Happy melalui atas talian (online) tidak akan diubah, malahan strategi itu bersesuaian dengan teknologi masa kini.
Beliau berkata, strategi Happy itu dianggap unik malahan aduan daripada pelanggan dapat diselesaikan segera selepas berhubung terus dengan pelayan pelanggan Happy di laman web.
“Kami akan menghantar kad permulaan prabayar Happy selepas pelanggan mendaftar di laman utama Happy.
“Penjualan Happy tetap meningkat walaupun kad prabayar ini jarang dilihat di kaca televisyen. Kami percaya pelanggan tahu apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.
|
|