myMetro

Maxis, Yahoo! bersatu dalam iklan mudah alih

Oleh Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

MAXIS Communications Berhad (Maxis) menjalin kerjasama strategik dengan Yahoo! Inc, (Yahoo!) untuk membangunkan inisiatif pengiklanan mudah alih mulai Julai ini.

Di bawah kerjasama eksklusif itu, gerbang wap Maxis, Maxis WAP Portal akan diperkukuh dengan pelbagai pengiklanan bergrafik inovatif selenggaraan dan jualan secara eksklusif Yahoo!

Ketua, Bahagian Pembangunan Produk dan Infohiburan, Maxis, T Kugan, berkata telefon bimbit kian menjadi media baru atau skrin ketujuh dalam terma pengiklanan dengan alasan ia adalah media peribadi sebenar.

“Dengan jumlah asas langganan terbesar (10 juta) dengan kadar penggunaan data tertinggi di negara ini, ia menjadi faktor terbaik kepada pengiklan Malaysia untuk mencapai sasaran pasaran dengan lebih meluas,” katanya.

“Kerjasama dengan Yahoo! yang sememangnya peneraju dalam pengiklanan mudah alih, membuktikan komitmen kami untuk mempertingkat strategi dan meraih kelebihan yang ada pada kekuatannya bagi mencipta model pendapatan baru,” katanya lagi.

Pengiklanan mudah alih kini merubah pasaran dengan membenarkan pengiklan mencapai sasaran tertinggi kepada pelanggan menerusi peranti mudah alih, di samping menyediakan peluang untuk mengadaptasi kempen pemasaran unik serta inovatif menerusi pengiklanan bergrafik mudah alih.

Menurut Naib Presiden merangkap Pengarah Urusan Connected Life Asia, Yahoo!, David Ko, kerjasama dengan Maxis mempamerkan kesinambungan tumpuan Yahoo! dalam usaha menumpukan penyediaan peluang ‘mesti beli’ kepada pengiklan dan memperluaskan keterajuannya dalam pengiklanan bergrafik peranti mudah alih.

“Pengiklan dan rakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih sudah memperakui kemampuan unik dan nilai pengiklanan mudah alih. Mereka berusaha meletakkannya sebagai sebahagian daripada teras kempen digital,” katanya.

Ketika ditemui pada pameran dan persidangan telekomunikasi terbesar Asia, CommunicAsia 2008 di Singapura, minggu lalu, David tidak menyangkal bahawa pelbagai pihak lain turut memperkenalkan inisiatif pengiklanan mudah alih termasuk pengeluar telefon.

“Kami menganggap ia persaingan sihat namun yakin kerana Yahoo! sudah berada dalam industri ini lebih lama. Ia juga boleh dicapai oleh semua jenis peranti mudah alih dan tidak tertakluk kepada model tertentu saja,” katanya lagi.

Sebagai pengasas Internet mudah alih, Maxis dan Yahoo! akan menggabungkan kepakaran masing-masing dalam industri serta pengalamannya mengenai tabiat pengguna untuk membolehkan pemilik pelbagai jenama terkemuka mengiklankan produk menggunakan inisiatif yang dicipta khusus untuk persekitaran mudah alih.

Gerbang Maxis WAP Portal mencatatkan purata kunjungan melebihi 20 juta sebulan.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad