Bertenaga, mudah digunakan
Oleh Husain Jahit
husain@hmetro.com.my
PRODUK: HTC Touch Cruise - Telefon bimbit PDA
PENGELUAR: High Tech Computer Corp (HTC)
PERTANYAAN: SIS Distribution (M) Sdn Bhd
TELEFON: 03-5569 8878
LAMAN WEB: www.htc.com/sea
HARGA: RM2,599
EDISI ketiga dalam keluarga HTC Touch ini memiliki reka bentuk berlainan berbanding HTC Touch dan HTC Touch Dual kerana memiliki sudut berbucu dan melengkung sedikit di bahagian atas serta bawah.
Namun, reka bentuk itu tampak lebih elegan ditambah dengan ciri sentuhan skrin berasaskan antaramuka TouchFLO yang begitu inovatif daripada HTC untuk memudahkan lagi gaya guna.
Warna hitam berkilat mengelilingi bahagian skrin LCD menampakkan tahap profesionalisme pemilik dan gaya berteknologi tinggi, sementara bahagian lain berwarna hitam biasa agak kesat yang menjadikannya lebih mantap ketika dipegang.
Bahagian depannya kelihatan amat ringkas, selain skrin, di bawahnya ada gelung kawalan untuk memudahkan skrol naik atau turun serta empat butang kawalan panggilan dan butang pantas pelancar aplikasi pelayar laman web.
Gelung kawalan itu berguna untuk kawalan lima arah. Terdapat lampu belakang pada gelung kawalan dan ianya menyala setiap kali digunakan.
Ketika uji pakai, memang benar antaramuka Touch Cruise ini mudah digunakan. Walaupun disediakan pen stylus, namun hanya menggunakan hujung jari ia mampu membawa pengguna menelusuri laman web dengan mudah, apatah lagi e-mel, pesanan ringkas, muzik, gambar dan pelbagai aplikasi lain.
Jika tidak digunakan, skrin akan berada dalam mod tidak aktif. HTC lebih bijak apabila membangunkan penjimat skrin yang dipenuhi maklumat berguna menerusi Live HTC Home.
Ia memaparkan petunjuk waktu yang lebih besar supaya mudah dilihat dan ramalan cuaca yang disalurkan secara masa nyata, begitu juga capaian pantas untuk pengguna menyelaraskan semula nada dering, selain pelancar pantas aplikasi-aplikasi lain.
Sementara itu, antaramuka yang dikenali 3D Touch Cube membolehkan pengguna secara pantas mendapatkan senarai nombor telefon, aplikasi, mendengar muzik atau melayari fail media.
Bagi golongan profesional yang sentiasa bergerak dan melakukan tugas di luar, HTC Touch Cruise yang turut disepadukan dengan aplikasi sistem kedudukan global (GPS), membolehkan mereka tahu jalan yang hendak dituju.
Dengan bantuan satelit dan sistem pemetaan, pergerakan dari satu tempat ke tempat lain lebih mudah.
Touch Cruise hanya dilengkapi satu unit pembesar suara yang diletakkan di belakang berhampiran kamera dengan sensor CMOS beresolusi tiga megakpiksel.
Sistem memori dalaman RAM 128MB dan ROM 256MB diperkuat oleh slot memori tambahan menggunakan kad microSD yang terletak di sisi kanannya.
Sistem penyambungannya dengan komputer peribadi atau laptop menjadi lebih mudah kerana hanya menggunakan satu pelabuh USB yang sama digunakan untuk mengecas.
Keseluruhannya, uji pakai HTC Touch Cruise memuaskan, cuma pakej beliannya adalah lebih baik jika disediakan dengan sarung kulit.
>Komen
KESELURUHAN: * * * *
REKA BENTUK: * * * * 1/2
INOVASI: * * * *
MESRA PENGGUNA: * * * *
NILAI WANG: * * * 1/2
>Spesifikasi
HTC Touch Cruise - Telefon bimbit PDA
PEMPROSES: Qualcomm(R) MSM7200(TM), 400MHz
SISTEM OPERASI: Windows Mobile(R) 6 Professional
RANGKAIAN: HSDPA/UMTS 850/1900/2100 MHz, GSM/GPRS/EDGE 850/900/1800/1900MHz
RAM: 128MB DDR SDRAM
ROM: 256MB
KAMERA: 3MP, VGA CMOS (kamera kedua)
SKRIN: LCD TFT 2.8 inci dengan lampu belakang LED (peka sentuhan)
PENYAMBUNGAN: Bluetooth 2.0, Wi-Fi IEEE 802.11 b/g
DIMENSI: 110 x 58 x 15.5mm
BERAT: 130gm
|
|