myMetro

The Spiderwick Chronicles lebih hebat

Oleh Afiq Hanif
mafiq@hmetro.com.my

SEKALI lagi percubaan syarikat pembangun permainan untuk menampilkan adaptasi filem berasaskan fiksyen mendapat perhatian it@Metro.

Sierra Entertainment (Sierra) memperkenalkan edisi terbaru permainannya yang diilhamkan daripada dunia fantasi menerusi The Spiderwick Chronicles.

Permainan berasaskan pengembaraan The Spiderwick Chronicles secara fantasi tentulah akan dibandingkan dengan karya asal yang dinantikan peminat filem itu .

Sebelum ini, Reviu Game agak kecewa dengan The Golden Compass yang tidak sehebat filemnya tapi The Spiderwick Chronicles amat berbeza.

Idea yang diketengahkan penerbitan 'game' ini jauh lebih hebat dari filem asalnya menyebabkan penulis seronok mengembara bersama karektor.

Ia mengetengahkan jalan cerita pengembaraan tiga beradik selepas mereka berpindah ke rumah usang yang mempunyai sejarah menarik di sebaliknya.

Permainan itu adalah gabungan ciri penjelajahan, penyelesaian masalah dan aksi pertempuran yang menghiburkan.

Mengikut jalan cerita asalnya, Jared dan Simon adalah adik kembar kepada Mallory, yang tidak bersetuju dengan tindakan ibu mereka berpindah ke rumah baru yang dimiliki saudara mereka, Arthur Spiderwick.

Tentu sukar memahami jalan cerita jika tidak menonton filem itu tapi adegan The Spiderwick Chronicles tidaklah memerlukan kita mengerut kepala kerana tidak faham.

Permainan ini tampil dengan pelbagai watak baru tapi mudah difahami kerana anda pantas mengecam siapa musuh dan siapa kawan.

Permainan ini dibantu klip ringkas, iaitu pengenalan kepada watak dan latar belakang ceritanya seperti di dalam filem asal.

Klip ringkas itu turut mengetengahkan cerita di sebalik kewujudan alam fantasi yang diterokai Arthur dalam pengembaraannya bertemu makhluk halus lain di dunia ini.

Bagi yang menonton filemnya, ia adalah pengalaman yang mampu memberikan tambah nilai kepada pemain, kerana mereka berpeluang melakukan pelbagai aksi menarik dalam usaha menamatkan misi pengembaraan Arthur yang belum selesai.

Setiap karektor yang ditampilkan itu mempunyai pendekatan pertempuran tersendiri. Contohnya Jared yang akan menggunakan senjata seperti kayu, Mallory memiliki bakat berlawan pedang dan Simon bijak menghayun senjata ciptaannya sendiri.

Aksi pertempuran tidak seperti di dalam permainan elektronik tiga dimensi (3D) lasak yang lain, kerana ia lebih memberikan tumpuan terhadap aksi ringan.

Ia mudah dikawal selain dilengkapi gabungan serangan mudah untuk dipelajari, yang memerlukan anda membuka kekunci utama sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

Paparan visual bagi permainan itu adalah memuaskan dengan reka bentuk watak yang unik dan berkesan, hampir menyamai karakter sebenar dalam edisi filemnya.

Bagaimanapun, kebanyakan laluan yang dilalui ditampilkan pada latar belakang yang gelap sehingga menyukarkan pengembaraan dalam menyelesaikan misi mereka.

Sistem bunyi bertenaga membolehkan suara latar setiap watak di platform permainan elektronik itu didengari dengan jelas.

Ia membantu pengendali menyelami perasaan sebenar watak pada platform permainan elektronik itu.

Kesimpulan, The Spiderwick Chronicles adalah permainan pengembaraan yang menampilkan pelbagai watak dan reka bentuk menarik yang menghiburkan.

Permainan ini sesuai untuk sesiapa sahaja.



>Info

TAJUK: The Spiderwick Chronicles

PLATFORM: PlayStation 2 (Juga untuk komputer, Wii, XBox 360)

GENRE: Aksi, pengembaraan

TARIKH DIPASAR: Februari 2008

PENERBIT: Sierra Entertainment

DIBANGUN OLEH: Stormfront Studios Inc



>Komen

KESELURUHAN: ***1/2

GRAFIK: ***1/2

INOVASI: ***1/2

MESRA PEMAIN: ***1/2

KANDUNGAN: ***1/2

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad