Versa baru penuhi impian
NEC Computer Asia Pasifik melancarkan dua notebook terbaru model NEC VERSA iaitu S5600 dan S3500.
NEC VERSA S5600 dilahirkan menerusi ‘enji’ atau warna merah yang dicipta khusus untuk golongan profesional
manakala model S3500 diilhamkan dengan warna ‘suzu’ atau kelabu sebagai memenuhi keperluan pengguna semasa seperti pelajar dan pelayar Internet.
Pengurus Kanan Produk NEC Computers Asia Pasifik, Mitsuhiro Tagami berkata, dengan pengetahuan mengenai teknologi di masa hadapan serta keinginan pengguna, NEC merealisasikan menerusi dua model ini untuk memenuhi selera pengguna yang mementingkan kerjaya.
“Persekitaran dan persaingan kerja hari ini, menuntut perubahan terhadap teknologi yang digunakan seperti notebook agar mudah melakukan penyelesaian.
“Notebook yang ditambah dengan pelbagai kelebihan ini, apatah lagi beratnya hanya 1.9kg memudahkan pengguna membawanya untuk melakukan pelbagai tugas, mahupun ketika membeli-belah,” katanya.
Menurut Tagami, melalui NEC VERSA S5600 dan S3500 pengguna sentiasa berada dalam rangkaian dan bebas berbual tanpa gangguan.
“Kedua-dua model ini dilengkapi dengan teknologi pemproses terbaru daripada Intel Centrino 2 Processor Technology untuk memperkukuhkan keupayaan notebook walau di mana saja dengan keadaan lebih teratur, cekap dan turut meningkatkan produktiviti kerja,” katanya lagi.
Pengguna pasti teruja dengan kamera web 2.0 megapiksel, bluetooth, DVD ‘burner’ dan juga pembaca kad empat-dalam-satu.
|