VDSL2 lebih baik untuk komunikasi
SISTEM komunikasi lebih pantas akan dicapai jika pengguna bersedia menggunakan teknologi Garisan Pelanggan Digital Berkelajuan Tinggi 2 (VDSL2) yang mempunyai kapasiti penghantaran data sehingga mencecah 100 megabit.
Pengarah Pemasaran Produk, Akses Perniagaan, Kumpulan Penyelesaian Komunikasi Bisnes Infineon Technologies Taiwan Co Ltd (Infineon), Tony Chen memaklumkan keupayaan VDSL2 membolehkan penghantaran data melalui perkhidmatan 'Triple Play' lebih baik.
“Perkhidmatan Triple Play seperti suara, video, televisyen definisi tinggi (HDTV) dan permainan interaktif memerlukan teknologi sebegini bagi menyokong jumlah besar data yang dihantar,” katanya.
Menurut Tony, VDSL2 adalah teknologi terkini dan termaju jika dibandingkan dengan komunikasi menggunakan wayar jalur lebar DSL kerana ia lebih fleksibel serta menjimatkan kos.
“Kebanyakan negara Eropah mula memerhatikan teknologi ini contohnya Deutsche Telekom yang memasangnya di 50 bandar besar Jerman membolehkannya membekalkan garisan jalur lebar sehingga 50 megabit sesaat pada 2007,” kata Tony.
Katanya, prestasi yang ditunjukkan VDSL2 memacu evolusi komunikasi dengan potensinya dijangka lebih meluas selepas beberapa syarikat telekomunikasi berjaya menggunakannya.
Infineon menawarkan penyelesaian semikonduktor dan sistem untuk membolehkannya mengenalpasti tiga cabaran utama dalam masyarakat iaitu kecekapan tenaga, komunikasi serta keselamatan.
|