Berita IT: Lahir pembangun perisian
Oleh Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
ASPEK kepentingan mengenai pembangunan teknologi masa depan menjadi tumpuan pada persidangan Tech.Ed anjuran Microsoft yang berlangsung di Kuala Lumur, baru-baru ini.
Dengan tema ‘Be a Part of the Experience’ persidangan yang menyaksikan pembabitan pakar industri telekomunikasi dalam dan luar negara .
Persidangan ini membincangkan tentang pembangunan teknologi akan datang, yang direka untuk membantu mewujudkan negara sebagai pengeluar penyelesai perisian dan membantu profesional teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan lebih ramai arkitek yang mampu mereka, mencipta dan memberi sumbangan ke arah itu.
Timbalan Presiden Microsoft Asia Pasifik, Saw Ken Wye berkata, Persidangan Microsoft Tech.ed Asia Tenggara 2008 menerima respon yang sungguh baik memandangkan jumlah penyertaan yang lebih ramai berbanding persidangan sebelumnya.
“Persidangan adalah satu inisiatif yang mencerminkan keupayaan Microsoft untuk membantu ekonomi perisian di Malaysia, dan hampir RM26 juta dilaburkan dalam program ini sebagai penjana ekosistem perisian tempatan,” katanya.
“Kami percaya Tech.ed mampu memberi pengalaman kepada peserta dan bersedia untuk meneruskan pembabitan mereka dalam membangunkan ICT di wilayah ini,” katanya.
Semenara menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, syarikat perisian tempatan memperolehi pemahaman teknikal dan cara niaga untuk mencipta, memasar dan manfaat daripada penyelesaian IT dengan kerjasama Microsoft.
“Sejumlah 2000 syarikat teknologi tempatan dan multi nasional terbabit dalam pelbagai industri ICT. Hampir 319 syarikat berstatus MSC yang aktif dalam persekitaran Microsoft, menyumbang kira-kira RM2.97 juta pada tahun 2006. Angka ini menunjukkan MSC Malaysia yakin dengan pencapaian Microsoft dan bersedia untuk menjana ekonomi tempatan dengan inisiatif Perisian Ekonomi Tempatan.
“Untuk dua tahun seterusnya, MDeC mensasarkan 20 syarikat MSC tempatan bakal diiktiraf di seluruh dunia. Oleh itu, kerjasama rakan kongsi seperti Microsoft adalah sangat diperlukan agar syarikat perisian MSC Malaysia dapat mencari peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman (be a part of the experience),” katanya.
Menurut Badlisham, kerjasama antara MDeC dan Microsoft melahirkan dua program yang bergerak giat iaitu Pusat Inovasi Microsoft (’technopreneurship/technology incubation’) dan Program MSC OneISV (’enterprise quality ISVs’).
Kerjasama ini bertujuan mengukuhkan dan mengenalpasti perkembangan ICT untuk ICT SMEs (Small and Medium Enterprises), ‘technopreneurship’ dan masyarakat - di mana ISVs (Independent Software Vendors) dan teknologi akan membawa penyelesaian inovasi dari peringkat yang begitu bawah hingga ke seluruh dunia.
Tech.ed turut menyaksikan pembabitan syarikat ICT yang turut menjayakan usaha menaikkan perisian tempatan seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Human Resources Development Council (HRDC).
|
|