Reviu Produk: Router Linksys mudah ditetapkan
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
NADI kepada sambungan Internet tanpa wayar tentunya terletak kepada peranti yang membolehkan pengguna mencapai gelombang untuk menerima jalur lebar dalam kawasan setempat seperti di rumah atau kafe tertentu.
Apabila bercakap mengenai jalur lebar tanpa wayar, pengguna sering mengaitkannya dengan laptop namun berapa ramai yang mengetahui 'router' adalah nadi utama untuk merealisasikan sambungan berteknologi hebat itu.
it@Metro bernasib baik kerana dapat menguji produk router daripada Linksys (satu bahagian dalam Cisco) iaitu model Wireless-G Broadband Router (WRT54G2).
Kegunaan
Mungkin kebanyakan pengguna akan tertanya-tanya fungsi penggunaan model sebegini dalam kehidupan seharian kerana ada yang kurang arif dalam bidang teknologi.
Ia digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian dan subrangkaian tanpa wayar memandangkan kebanyakan pengguna memiliki lebih daripada satu komputer peribadi (PC) di rumah.
Contohnya, si ayah dan si kakak mempunyai laptop manakala si adik menggunakan PC yang memerlukan sambungan jalur lebar tanpa wayar bagi rangkaian Internet.
Sesebuah router mempunyai beberapa pelabuh dan paket akan disalurkan ke sistem rangkaian yang ditentukan beroperasi di Lapisan Ketiga iaitu model rujukan Antara penyambungan Sistem Terbuka (OSI).
Konfigurasi
Jangan panik atau gusar apabila anda membeli produk ini kerana berpendapat pengetahuan teknologi maklumat (IT) anda sangat terhad kerana ia didatangkan bersama perisian Linksys Easylink Advisor (LELA).
LELA membantu memudahkan pemasangan rangkaian yang mesra pengguna walaupun mereka tidak memiliki sebarang IT direka dalam bentuk cakera padat ringkas.
Pengguna hanya perlu mengikut penetapan yang diterangkan dalam LELA seperti yang dilakukan penulis dan anda akan dapat menetapkan konfigurasi hanya dalam masa kurang 10 minit.
Sambungan
Selain itu, model ini membenarkan anda menghubungkan empat PC sekali gus dalam satu masa atau hanya tambah hab untuk meluaskan sistem rangkaian sebanyak mana yang dikehendaki.
Penulis merasakan pemasangan WRT54G2 berkonsepkan 'plug n play' sebaik anda menyentuh peranti ini dan memasangnya di rumah.
Keselamatan
Pengguna juga tidak perlu bimbang jika keselamatan menjadi isu utama memandangkan ciri keselamatan juga dipertingkatkan melalui model ini dengan konfigurasi perlindungan dilakukan dengan hanya menyentuh satu
butang iaitu Penetapan Perlindungan WiFi (WPS).
Oleh itu, segala anasir jahat yang cuba mengganggu akan dihalang terlebih sebelum ia memasuki sistem laptop atau PC pengguna di rumah.
Reka bentuk
Penulis agak tidak percaya pada awalnya apabila memegang produk ini kerana tercari-cari antena yang kerap didatangkan dengan router.
Bagaimanapun, sebaik membaca tulisan pada kotaknya, barulah penulis faham bahawa router ini langsung tidak menggunakan antena luaran kerana ia ditetapkan dalam peranti itu sendiri.
Warna hitam dengan reka bentuk ala kapal angkasa moden ini tentunya menarik yang mampu menghilangkan rasa bosan seperti kebanyakan reka bentuk router lain di pasaran.
Tambahan pula, peranti mempunyai berat 0.28 kilogram dengan dimensi 203 x 35 x 160 milimeter yang memudahkan anda mengalihkannya mengikut kesesuaian.
Penilaian
Produk ini sangat sesuai digunakan walaupun ia bukan peranti yang kerap diinginkan pelanggan dan mudah digunakan walaupun anda tidak berpengetahuan dalam IT.
>Spesifikasi
PRODUK: Linksys Wireless-G Broadband Router (WRT54G2)
PENGELUAR: Linksys
PERTANYAAN: Linksys
TELEFON: 1-800-812358
LAMAN WEB: www.linksys.com
HARGA: RM175
> Komen
KESELURUHAN: ****
REKA BENTUK: ****
INOVASI: ***1/2
MESRA PENGGUNA: ****
NILAI WANG: ****
|
|