Reviu Game: Madden NFL 09 unggul, bergaya
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
TIDAK ramai rakyat negara ini yang memilih ‘Football’ ala Amerika Syarikat sebagai sukan pilihan jika dibandingkan bola sepak atau ragbi, jauh sekali untuk terbabit secara secara profesional.
Rasanya, tiada langsung kemudahan yang cukup untuk memainkan permainan yang disifatkan ala ragbi malah ia kurang didengar di Asia.
Namun, tidak dinafikan ramai meminati sukan yang begitu popular di Amerika Syarikat ini dengan peluang terhidang untuk mencuba Madden Liga Football Kebangsaan Amerika Syarikat (NFL) 09.
EA Sports kembali menggegarkan komputer anda dengan edisi permainan terbarunya itu yang membolehkan sesiapa saja bertarung di gelanggang bagai lagak pemain profesional dunia.
Paparan grafik Madden NFL 09 pasti mengingatkan kita dengan permainan keluaran EA Sports yang lain seperti edisi FIFA, NBA dan sebagainya.
Permainan berteraskan sukan popular Amerika Syarikat itu yang dikeluarkan oleh syarikat ini bolehlah dianggap sebagai antara yang terbaik jika dilihat dari sudut kandungan dan grafiknya.
Lakaran setiap watak di dalam permainan ini boleh dianggap sempurna seperti lakaran watak dalam permainan diperoleh EA Sports lain seperti siri FIFA, tetapi sekurang-kurangnya keupayaan grafiknya boleh dikatakan membanggakan.
Simulasi yang dibangunkan EA Tiburon ini sudah mengalami pelbagai evolusi jika dibandingkan dengan edisi 2008 sebelum ini dan hasil dalam edisi terbarunya bolehlah dianggap sebagai yang terbaik pernah dibangunkan.
Bagi mereka yang teruja mahu mencuba satu pembaharuan, Madden NFL 09 adalah medan untuk menikmatinya walaupun anda tidak bermain edisi NFL sebelum ini.
Ia dilengkapi 85 ciri baru berbanding edisi sebelum dengan beberapa kemajuan termasuk mod Jurulatih Maya yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemain berdasarkan suasana holografik.
Madden NFL 09 turut menyediakan pengulas terkemuka dalam bidang itu iaitu Cris Collinsworth dan Tom Hammond yang memberikan debaran apabila anda bermain.
Permainan ini juga membenarkan anda membina liga ‘online’ dengan bertarung menentang 32 pasukan lain bagi memastikan kejuaraan yang diidamkan setiap pemain.
Bagi anda yang pertama kali mencuba permainan ini, adalah digalakkan untuk mencuba mod latihan bagi membiasakan diri dengan gerakan asas seperti larian, hantaran, lontaran dan hadangan sebelum menyertai perlawanan.
Corak kawalan permainan ini tidaklah sesukar seperti yang dijangkakan kerana kelajuannya berada pada tahap yang sederhana.
Madden NFL 09 yang dibangunkan EA Tiburon itu turut menggunakan imej bekas `Quarterback’ Green Bay Packers, Brett Favre pada muka depan permainan berkenaan.
>Info
TAJUK: Madden NFL 09
PLATFORM: PlayStation2 (PS2), PS3, PSP, Xbox X360, DS dan WII
GENRE: Sukan
TARIKH DIPASARKAN: Ogos
PENERBIT: EA Sports
DIBANGUNKAN OLEH: EA Tiburon
>Komen
KESELURUHAN: ****
GRAFIK: ****
INOVASI: ***1/2
MESRA PEMAIN: ****
KANDUNGAN: ****
|
|