Nokia, UMG beri 100 lagu percuma
MASYARAKAT Malaysia yang membeli telefon bimbit Nokia XpressMusic 5320 atau XpressMusic 5220 akan diberi 100 lagu secara percuma daripada Universal Music Group International (UMG) untuk dipindah turun ke dalam koleksi muzik digital mereka.
Naib Presiden Kanan, Universal Music Asia Tenggara, Sandy Monteiro, berkata telefon bimbit kian menjadi platform kritikal untuk mendengar lagu kegemaran terutama golongan remaja.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Nokia bagi mewujudkan inisiatif ‘capaian mudah untuk muzik’ di rantau ini yang dijangka dapat meningkatkan penerimaan muzik dalam peranti mudah alih di samping dapat mendedahkan lebih banyak lagu dan artis UMG di seluruh dunia,” katanya pada majlis pelancaran kedua-dua telefon bimbit itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, lagu yang disediakan UMG menerusi kerjasama ini dalam format yang lebih bermutu tinggi iaitu Windows Media Audio (WMA).
“Kami pentingkan kualiti untuk dihidangkan kepada peminat kerana apabila mereka memindah turun lagu dari saluran yang tidak sah, kebanyakannya mendapat hasil yang tidak memuaskan dan tidak berkualiti, malah ada yang mendapat sebahagian saja lagu itu,” katanya.
Dalam pada itu, kata Sandy, keadaan menjadi lebih parah apabila laman pembekal muzik yang dikunjungi itu tidak selamat hingga boleh mengakibatkan PC pengguna dijangkiti virus.
“Di UMG, kami mengamalkan pindah turun selamat dan bekerjasama erat dengan beberapa syarikat keselamatan terkemuka termasuk Microsoft yang menyediakan pendekatan Pengurusan Hak Digital (DRM),” katanya.
|
|