HP 2133 kecil menawan
PRODUK: HP 2133 Mini Note
PENGELUAR: Hewlett Packard (HP)
PERTANYAAN: HP Malaysia
TELEFON: 1800-88-4848
LAMAN WEB: www.hp.com.my/mini
HARGA: RM2,299
LEBIH kecil lebih terampil.
Kalau penyataan di atas menjadi adaptasi dalam kehidupan berteknologi yang dijalani sepanjang hari, berkemungkinan kita akan memilih banyak produk kecil molek untuk disesuaikan.
Apa lagi yang boleh dikecilkan?
Kalau diimbas kembali zaman penggunaan laptop kira-kira enam hingga tujuh tahun lalu pasti mengingatkan kita kepada saiz 16 hingga 17 inci.
Tidak cukup dengan itu, ia sangat berat untuk dibawa sehinggalah perkembangan teknologi menyaksikan saiznya berubah menjadi 13 atau 14 inci ketika ini.
Namun demikian, era laptop sekecil lapan inci dilihat bakal menjadi fenomena baru dalam dunia teknologi ekoran keupayaan mudah alihnya yang cukup mantap, tidak terkecuali produk HP 2133 Mini Note PC yang dihasilkan Hewlett Packard.
Rekaan
Saiznya yang kecil menyerlahkan keunggulan laptop pada kelasnya tersendiri dengan dimensi 27 x 255 x 165 milimeter tentunya menggembirakan pengguna.
Skema warna perak menonjolkan HP 2133 Mini Note PC yang ringkas dan tampak cantik memungkinkan orang lain terpegun apabila si memakai mengeluarkannya dari beg di tempat terbuka.
Kombinasi satu warna saja menampakkan bentuk fizikalnya lebih kecil sementara skrinnya yang boleh ditetapkan sehingga 135 darjah membolehkannya diletakkan di riba tanpa bebanan.
Paparan
Skrin melebar LCD WXGA berukuran 8.9 inci dilengkapi teknologi pencerah paparan serta peka sentuhan di atas resolusi paparan 1280 x 768 piksel memberi jawapan kepada persoalan pengguna berkaitan mutu imej.
Walaupun kecil, jarak penglihatan sehingga 50 sentimeter dari skrin ke anak mata boleh menampakkan apa yang terpapar di permukaan termasuk laman web yang dibuka.
Kebanyakan pengguna risau mengenai jarak penglihatan terhad apatah lagi mereka yang berkaca mata namun peranti tidak memberi masalah kepada anda.
Pemprosesan, RAM dan memori
Menggunakan kekuatan pemprosesan VIA C7-M ULV 1.6GHz dan set cip VIA CN896 NB & VT8237S SB cukup untuk menyelesaikan tugasan harian bagi individu profesional.
Menariknya, ia memiliki memori DDR2 SDRAM 667MHz dengan RAM sehingga 2GB bersesuaian dengan sistem operasi Windows Vista kerana ia adalah keperluan minimum bagi memberikan prestasi berpatutan.
Justeru, operasinya mungkin baik tapi tidaklah terlalu hebat untuk digunakan bersama sistem operasi Windows Vista sehingga kadangkala terasa sedikit memperlahankan fungsi.
Mungkin HP boleh memikirkan sistem operasi alternatif seperti Windows XP bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.
Sistem storan cakera keras 160GB boleh memuatkan lagu MP3 serta memuatkan fail Microsoft Word atau Excel cukup untuk digunakan oleh si pemakai.
Penilaian
Beberapa ciri menarik ditonjolkan melalui peranti dengan kerangka aluminium terion yang kukuh dan dijangka tahan lasak untuk dibawa ke mana saja tanpa masalah.
Ia juga memiliki teknologi jimat tenaga yang diiktiraf melalui label Energy Star ditambah pula harga RM2,299 menawarkan pakej menarik tidak mampu dilepaskan.
Cuma ada sedikit kekurangan apabila kipas pada sistem penyejukan berbunyi agak kuat apabila menggunakan peranti untuk tempoh lama.
Rumusan yang dilihat mendapati HP 2133 Mini Note kecil, ringkas tetapi lasak untuk melindungi data penting yang mana ia ditawarkan dengan HP 3D DriveGuard untuk memastikan cakera keras dilindungi.
>Komen
KESELURUHAN: ****
REKA BENTUK: ****
INOVASI: ****
MESRA PENGGUNA: ***1/2
NILAI WANG: ****
DOKUMENTASI: ***
|
|