Pakej WiMAX pertama dilancar
AKHIRNYA penantian mengenai perkhidmatan jalur lebar sistem Kebolehoperasian Global Capaian Gelombang Mikro (WiMAX) terjawab apabila syarikat bertanggungjawab Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1), melancarkan pakej jenama P1 W1MAX.
P1 W1MAX menjadi pakej WiMAX pertama yang turut tercatat dalam Buku Rekod Malaysia sebagai pembekal syarikat telekomunikasi pertama menawarkan produk sedemikian.
Terdapat empat pakej ditawarkan iaitu P1 W1MAX 400, 700, 1200 dan 2400 berdasarkan kelajuan 400 Kbps, 700 Kbps, 1.2 Mbps dan 2.4 Mbps dengan caj bulanan bermula RM69 hingga RM269 (tanpa kontrak).
Ketua Pegawai Eksekutif Packet One Networks Sdn Bhd (P1), Michael Lai, berkata ada tawaran menarik sehingga akhir bulan ini apabila pengguna mendaftar pakej 1200 dan 2400 melalui kontrak 12 atau 24 bulan dengan modem bernilai RM999 diberikan secara percuma.
“Kami menjangkakan bilangan pelanggan P1 W1MAX akan terus meningkat dengan sasaran 100,000 pengguna selepas setahun apabila keupayaan serta kawasan WiMAX dipertingkatkan,” katanya selepas pelancaran P1 WiMAX baru-baru ini, yang dirasmikan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
P1, anak syarikat Green Packet Bhd adalah satu daripada syarikat yang memperoleh lesen WiMAX dan yang pertama melancarkan perkhidmatan itu secara komersial.
Lai menambah, buat masa ini perkhidmatan P1 WiMAX boleh didapati di kawasan KLCC, segi tiga emas, Pekeliling, Setapak, Gombak, Seri Rampai, Sentul, Pudu, Subang Jaya, USJ 1, USJ 7 dan Subang Hi-Tech.
Katanya, syarikat mensasarkan untuk memperluaskan kawasan liputan ke Petaling Jaya, Damansara, Klang dan beberapa bandar utama termasuk Johor Bahru dan Melaka menjelang akhir tahun ini.
|
|