Segalanya ada pada Omnia
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
TELEFON bimbit pintar mungkin berlainan dengan peranti yang dinamakan pembantu peribadi digital (PDA) memandangkan fungsinya sedikit berbeza selain keperluan si pemakai itu sendiri namun gabungan kedua-duanya pasti menghasilkan kemantapan.
Gabungan kedua-duanya menghasilkan Samsung Omnia SGH-i900 atau panggilan manjanya, Omnia yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu.
Samsung Omnia menampilkan ciri menarik yang menggabung semua fungsi telefon bimbit, komputer peribadi (PC) dan pengalaman multimedia dalam satu peranti.
Sistem operasi
Menggunakan sistem operasi Windows Mobile 6.1 Professional membolehkan pengguna memindah turun program tambahan sama seperti yang didapati melalui komputer peribadi (PC) di pejabat atau rumah dan boleh disesuaikan kepada keperluan individu.
Semestinya aplikasi Office Mobile mengetengahkan Excel, OnNote, Powerpoint dan Word membantu dalam menyelesaikan urusan kerja seharian seperti dialami penulis yang perlu menyelesaikan tugasan dengan pantas.
Selain itu, penulis mendapati Omnia memungkinkan pengguna menggunakan aplikasi e-mel dan produktiviti Microsoft Outlook yang menyerupai perisian pada PC tapi ia berfungsi dengan hanya sentuhan jari.
Fungsi terbabit membantu penulis yang mahu menghantar dan menerima e-mel serta mengurus temu janji dalam Outlook ketika dalam perjalanan.
Rekaan
Kemasan platinum senipis 12.5 milimeter membuatkan Omnia memenuhi kemahuan pengguna yang mahukan fungsi, gaya, mesra pengguna dan hiburan terampil dalam satu alat komunikasi.
Sementara itu, tetikus optik setanding laptop membolehkan pengguna mengawal peranti menggunakan satu tangan untuk memudahkan pelayaran.
Cuma agak pelik apabila pen ‘stylus’ dibekalkan berasingan daripada telefon dengan memerlukan si pemakai menggantungnya di bahagian tepi yang sedikit menyukarkan pergerakan.
Antaramuka pengguna (UI)
Samsung memperkenalkan antara muka pengguna TouchWiz bertujuan menyenangkan penghantaran data dan teks sekali gus membolehkan pengguna menyesuai dan mengguna telefon mengikut keperluan dan lenggok masing-masing.
Paparan UI pada peranti ternyata amat menarik apabila pengguna hanya perlu menarik ikon pada sebelah tepi ke tengah jika mahu menggunakannya sebelum memasukkannya kembali melalui jari atau pen stylus anda.
Ciri interaktif dan bersifat futuristik itu amat mengagumkan apatah lagi ia ternyata berbeza daripada apa yang ditampilkan melalui produk lain di pasaran.
Skrin peka sentuhan resolusi tinggi Samsung Omnia menggunakan operasi sentuh, leret, bawa dan letak, selain menyediakan papan kunci ‘QWERTY’ pada skrin.
Hiburan
Hiburan digital yang didapati melalui Omnia dimulakan menerusi skrin LCD WQVGA 3.2 inci untuk menonton video dan pertunjukan slaid dalam resolusi tinggi menggunakan keupayaan video tercanggih.
Sokongan MultiCodec bagi DivX, Xvid dan format video lain mengelakkan masalah membuka format fail tertentu yang kerap dialami pengguna.
Sebagai fungsi tambahan, Omnia diperkasakan dengan kamera CMOS lima megapiksel dan ciri nilai tambah terkini, termasuk fokus automatik (AF), pengesan muka dan senyuman serta gambar panorama automatik.
Cuma hasil rakaman foto dari kamera telefon bimbit itu tidaklah tidaklah secantik beberapa model dari jenama lain di pasaran kini.
Ia mudah dilupakan apabila storan sehingga lapan gigabait (GB) atau 16GB amat berguna dan cukup sempurna untuk menyimpan fail, aplikasi atau aktiviti harian.
‘Persembahan’ Omnia dilengkapkan dengan tawaran sistem kedudukan global (GPS) termasuk keupayaan ‘geotagging’ atau Google Maps menentukan kedudukan di mana saja kita berada.
Penilaian
Penulis nyata kagum apabila paparan dengan fungsi skrin sesentuh ini tidak akan meninggalkan kesan cap jari walaupun ia digunakan secara kerap malah peranti ini amat tahan lasak jika ia terjatuh secara tidak sengaja.
Mungkin Samsung boleh memikirkan untuk menghasilkan kesinambungan siri ini melalui edisi khas dengan warna berlainan kerana ia boleh menarik si pemakai daripada pelbagai jantina.
Omnia yang bermakna ‘segala-galanya’ dalam bahasa Latin dan ‘harapan’ dalam bahasa Arab menggambarkannya pilihan dan harapan pengguna yang menawarkan pelbagai keistimewaan serta aplikasi canggih masa kini namun ongkos pemilikan perlu diambil kira dengan teliti.
>Spesifikasi
PRODUK: Samsung Omnia SGH-i900
HARGA: RM2,799 ( 8GB), RM2,999 (16GB)
PENGELUAR: Samsung
PERTANYAAN: Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd
TELEFON: 1-800-88-9999
LAMAN WEB: www.samsung.com.my
Komen
KESELURUHAN: ****
REKA BENTUK: ****
INOVASI: ****
DOKUMENTASI: ****
NILAI WANG: ***
|
|