Fifa 08 melalui N-Gage menarik
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
PERMAINAN secara digital termasuk melalui konsol PlayStation, Wii atau XBOX kerap didengar, malah ia menjadi sasaran utama kaki game apabila jiwa tidak tertahan mahu beraksi sama ada kategori sukan atau peperangan yang sukar digambarkan kepuasannya.
Akhir-akhir ini, konsol permainan diperluaskan dengan telefon bimbit yang menjadi platform terbaru kepada kaki game, apatah lagi sifat mudah alih peranti memberi peluang tanpa henti kepada mereka berasak dalam gelanggang maya tidak kira siang atau malam.
Kebanyakan vendor telefon bimbit menyediakan menu game pada telefon bimbit mereka dengan beberapa syarikat menawarkannya secara serius kepada pengguna.
Nokia adalah salah sebuah syarikat yang menjadikan game sebagai segmen dalam pengeluaran telefon bimbit sehingga terhasilnya model N-Gage.
N-Gage kini diaplikasikan dan dipasang hampir di kebanyakan telefon bimbit keluaran gergasi dunia itu.
Salah satu permainan yang boleh dicapai melalui permainan N-Gage ini ialah Fifa 2008 yang dihasilkan EA Sports Mobile.
Fifa 2008 sememangnya popular jika anda bermain menggunakan konsol permainan di pasaran sedia ada, namun tidak ramai menjangkakan ia mampu disatukan dalam telefon bimbit.
Keseronokan bermain bola sepak menggunakan telefon bimbit berasaskan N-Gage terasa sama saja seperti menyepak bola di padang maya menggunakan konsol lain apatah lagi kita seolah-olah menjadi Cristiano Ronaldo, Messi atau Berbatov kerana mampu mengawal kaki mereka selain menghalakan bola ke gawang gol.
Walaupun begitu, pemain tidak perlu mengharapkan aksi yang sama dengan apa didapati dalam konsol tradisional memandangkan platform sebegini belum diperkuatkan sebaik mungkin.
Permainan Fifa 2008 yang dimainkan menggunakan N-Gage sama sekali tidak mengecewakan walaupun memiliki grafik tiga dimensi (3D) yang agak terhad.
Mungkin terdapat sedikit perbezaannya kerana permainan seperti bola sepak tertumpu di padang dengan pameran skil gelecek pemain menjadi keghairahan penggemar N-Gage.
Namun Fifa 2008 mampu menyebabkan pemain leka terutama ketika memilih pasukan sendiri yang terdiri dari kelab atau negara terkemuka.
Walaupun ia tidak setanding aksi sebenar di padang bola sepak, sekurang-kurangnya Fifa 2008 mampu memberi kepuasan kepada kaki game atau kaki bola untuk melepaskan gian, apatah lagi bahang Liga Perdana Inggeris sudah bermula.
Riak muka pemain masih tidak kelihatan dengan jelas namun ia bukan halangan malah Nokia harus berbangga kerana berjaya mencipta platform permainan untuk telefon bimbit.
Pengalaman bermain di setiap stadium juga berbeza kerana suasana keliling ditambah dengan keadaan cuaca terpilih supaya dapat menaikkan semangat pemain.
Gaya gelecek untuk Fifa 2008 di N-Gage mungkin biasa walaupun terdapat beberapa skil yang diperkenal untuk dipraktikkan ketika menentang lawan bersesuaian dengan beberapa nama besar dalam kategori itu seperti Ronaldo atau Ronaldinho.
Selain itu, teknik ‘set piece’ diperkenalkan bagi membolehkan kita meletakkan susunan pemain dengan baik paling di depan gol sama ada ketika sepakan sudut atau percuma bagi menambah potensi menjaringkan gol.
Kawalan kepada pertahanan ketika sepakan percuma juga diperbaharui membolehkan sistem lebih baik ketika bertahan daripada pakar sepakan percuma.
Faktor yang perlu diambil perhatian oleh Nokia kerana skrin menegaknya tampak bertambah kecil.
Nokia perlu memperkenalkan platform dipasang secara melintang atau ditukar kepada skrin yang lebih besar bagi memberi lebih kepuasan kepada pengguna untuk semua produknya.
Bagi pemilik telefon bimbit atau yang bercita-cita mahu menukarnya tidak lama lagi, eloklah menjenguk Nokia 5320 XpressMusic, N81, N96, N81 8GB, N82, N95 8GB atau Nokia N95 untuk kepuasan bermain bola sepak ini secara mudah alih.
>Info
TAJUK: Fifa 2008
PLATFORM: Nokia N-Gage
GENRE: Sukan
TARIKH DIPASAR: April 2008
PENERBIT: Electronic Arts
DIBANGUN OLEH: Electronic Arts
>Komen
KESELURUHAN: ****
GRAFIK: ****
INOVASI: ****
MESRA PEMAIN: ****
KANDUNGAN: ***
|
|