MSC tempatan harus ke global
Oleh Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
MSC Malaysia menggesa syarikat tempatan bertaraf MSC lebih berdaya saing melangkah ke peringkat ekonomi global.
MDeC, Pikom dan Matrade menyarankan agar diwujudkan usaha sama yang memberi faedah kepada syarikat ICT tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, berkata sehingga akhir tahun lalu, terdapat 1,994 syarikat bertaraf MSC Malaysia dan 74 peratus daripadanya syarikat tempatan.
“Tahun lalu, sebanyak RM5.57 bilion dijana syarikat bertaraf MSC Malaysia dan daripada jumlah ini, RM1.36 bilion dijana syarikat MSC tempatan.
“Syarikat tempatan masih lagi ketinggalan untuk bersaing di peringkat global. Oleh itu, mereka perlu membangun mengikut rangka kerja yang ditetapkan agar selari dengan perkembangan ICT dalam dan luar negara,” katanya dalam forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada syarikat ICT tempatan melalui program perniagaan dan intensif untuk mengembangkan serta memberi peluang pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.
Intensif itu termasuk mempromosikan eksport dan mengimbangi pasaran bagi meningkatkan permintaan dikalangan pembeli, risiko pasaran dan sebagainya.
Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), David Wong Nan Fay, berkata industri ICT mampu mencapai sasaran RM80 bilion menjelang 2012 berbanding 2007 sebanyak RM40 bilion.
“Usaha sama antara Pikom, MDeC dan Matrade amat penting untuk memperkenalkan syarikat ICT tempatan ke peringkat antarabangsa dan seterusnya menjana pendapatan ekonomi negara,” katanya.
Menurut Matrade pula, bagi separuh tahun pertama 2008, Matrade mengenal pasti pembabitan 41 syarikat ICT tempatan di tiga pameran ICT antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Noharuddin Nordin, berkata 44.9 peratus atau 371 daripada 826 syarikat ICT Malaysia yang mendaftar dengan Matrade, berpeluang mengeksport barangan dan khidmatnya ke luar negara.
|
|