MyLine dibuka kepada pelajar IPTA
SUMBER Online bagi Pembelajaran Bahasa Inggeris (MyLine) yang diperkenalkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal dibuka kepada semua penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
MyLine yang mula diperkenalkan kepada penuntut semester 1 UTM sesi 2006/2007 adalah pembelajaran yang diakses sendiri bagi meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Inggeris di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi.
Program pengajaran dan pembelajaran itu direka membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik menerusi kaedah yang mudah dan menarik seperti aktiviti interaktif, tatabahasa, forum dan maklumat mengenai pengajian dan profesion.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program terbabit membentuk kerjasama erat antara universiti, di samping meningkatkan tindak balas dalam penggunaan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran.
“Teknologi yang berjaya dibangunkan seperti ini harus dikongsi bersama agar memberi faedah kepada semua penuntut di institusi pengajian tinggi di samping mengelakkan penuntut ini membangunkan program yang sudah dipelopori oleh universiti lain.
“Kementerian akan memantau penggunaan MyLine di setiap universiti dan berharap penuntut boleh berkongsi idea, mengemaskini dan menilai kandungan portal terbabit,” katanya.
Ia kini diperluaskan kepada 20 IPTA di seluruh negara sebagai langkah meningkatkan penguasaan bahasa kedua negara di kalangan penuntut universiti.
Menurutnya lagi, sejumlah RM4.5 juta diperuntukkan untuk membangunkan portal itu di semua IPT yang sehingga kini menerima capaian yang menggalakkan hampir 30,900.
|