Teknologi dan alam sekitar
Oleh Husain Jahit (Yang berada di Osaka, Jepun baru-baru ini)
husain@hmetro.com.my
 |
PERUBAHAN iklim atau cuaca yang berlaku ketika ini kian menjadi fenomena sejagat untuk memungkinkan kita berfikir dan bertindak untuk mengelakkan dunia ini terus musnah diakibatkan oleh manusia itu sendiri. |
PERUBAHAN iklim atau cuaca yang berlaku ketika ini kian menjadi fenomena sejagat untuk memungkinkan kita berfikir dan bertindak untuk mengelakkan dunia ini terus musnah diakibatkan oleh manusia itu sendiri.
Kerakusan manusia mengejar keuntungan tanpa menghiraukan alam sekitar dan sikap tidak bertanggungjawab mereka mengakibatkan perubahan iklim dunia yang semakin panas serta mengundang pelbagai bencana alam.
Bencana alam seperti ribut, banjir, kemarau, tsunami dan sebagainya kini dapat didengar hampir setiap hari berlaku di sana sini, malah bungkah ais yang lebih dikenali sebagai glasier di kutub utara atau selatan juga mengalami kecairan mengakibatkan peningkatan isipadu air laut setiap tahun.
Aktiviti pesat pelbagai jenis industri di seluruh dunia menyumbang terlalu besar hingga menyebabkan berlakunya gejala itu, malah sisa buangannya hampir tidak ada tempat lagi untuk dilupuskan.
Tidak ketinggalan sisa buangan dari rumah kediaman atau dari kita sendiri yang kadang kala terlupa atau buat-buat lupa, tiada kesedaran atau malas, lalu membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan akibatnya.
Jika sisa itu dari lebihan makanan, mungkin ia hanya akan mewujudkan pencemaran bau dan persekitaran pula menjadi kotor yang bersikap sementara kerana ia mungkin kelak di makan haiwan liar termasuk burung dan anjing, atau ia mungkin mereput lalu hilang begitu saja.
Tapi, bagaimana pula dengan sisa pepejal? Mungkin kita pernah ternampak orang membuang perabot lama seperti kerusi, meja, katil dan sebagainya, atau perkakasan elektrik seperti TV, peti sejuk, pengisar dan sebagainya.
Bahan terbuang seperti itu tidak mudah lupus dan sudah tentu akan mewujudkan kesan negatif sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.
Penulis berada di Jepun baru-baru ini di atas jemputan Matsushita Electric Industrial Co, Ltd, yang menjadi antara peneraju industri antarabangsa perkakasan elektrik dengan jenama Matsushita, Panasonic dan National.
Jemputan itu adalah bagi melihat daya usaha konglomerat itu untuk memulihara alam sekitar daripada terus tercemar akibat lambakan sisa buangan yang semakin tidak terkawal di seluruh Jepun.
Matsushita tidak berseorangan dalam merealisasikan inisiatif itu, malah mendapat sokongan mantap Kerajaan Jepun dan hampir seluruh industri di negara Matahari Terbit itu termasuk Hitachi, Mitsubishi, Sharp, Sanyo, Sony dan Samsung Jepun.
Inisiatif itu adalah lebih kepada mengitar semula bahan buangan yang ditumpukan kepada empat perkakasan utama di rumah iaitu TV, peti sejuk, mesin basuh dan alat pendingin hawa.
Di atas inisiatif itu, Matsushita menubuhkan Matsushita Eco Technology Center (METEC) yang kini dikenali sebagai Panasonic Eco Technology Center (PETEC - ditukar namanya sejak 1 Oktober lalu).
Ia adalah pusat kitar semula terletak di Kato City, Osaka dengan modal 400 juta Yen di atas kawasan seluas 38,570 meter persegi.
Presidennya, Kazuyuki Tomita, berkata PETEC ialah pusat kitar semula yang bersandarkan kepada slogan “dari produk jadi produk - sifar bahan buangan” sambil mengamalkan prinsip 3R iaitu mengurangkan (reduce), mengitar semula (recycle) dan guna semula (reuse).
“PETEC bukan sekadar membuka semula keseluruhan komponen serta mendapatkan bahan yang boleh dikitar semula daripada empat perkakasan terbabit, malah ia turut menjana sumber bahan baru menggunakan teknologi serta kaedah pengeluaran bagi produk baru,” katanya.
“Kami juga memajukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai lokasi untuk menyalurkan maklumat kepada industri yang mana akan memanggil wakil industri pembuatan produk berkaitan untuk berbincang mengenai hala tuju pengeluaran produk masa depan yang seharusnya lebih mudah untuk dikitar semula,” katanya lagi sambil menyatakan bahawa PETEC berupaya mengitar semula kita-kira 700,000 unit perkakasan setahun bagi semua pusat pusat kitar semula.
Menurut Kazuyuki, Kerajaan Jepun ingin mewujudkan masyarakat yang berteraskan kitar semula dengan kata lain penduduk yang lebih peka terhadap alam sekitar serta amat komited terhadap sisa buangan untuk dikitar semula.
Dalam pada itu, menurut Kazuyuki Kerajaan Jepun juga amat komited lalu menggubal satu bentuk peraturan di bawah Undang-undang Kitar Semula 1998 dan ia dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 April, 2001.
“Undang-undang itu memperuntukkan sejumlah denda yang besar akan dikenakan kepada penduduk yang tidak mengamalkan kitar semula ke atas empat perkakasasan rumah yang dinyatakan.”
“Ia bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Malah mereka juga dikehendaki membayar yuran untuk mengitar semula perkakasan yang sudah tidak digunakan lagi.”
“Tujuan yuran itu adalah untuk menampung sebahagian dari belanja kitar semula itu,” kata Kazuyuki.
Jumlah yuran yang dikenakan tidaklah setinggi mana iaitu kira-kira RM100 bagi TV, alat pendingin hawa dan mesin basuh, manakala RM200 bagi peti sejuk.
Proses kitar semula yang diamalkan oleh PETEC menggunakan teknologi tinggi dan bercampur. Ada teknologi yang dibangunkan sendiri oleh Panasonic dan ada yang dibeli dari syarikat lain.
Kazuyuki berkata, walaupun situasi ini agak unik yang mana penduduk perlu membayar untuk membolehkan perkakasan milik mereka dikitar semula, namun atas dasar tanggung jawab dan kesedaran terhadap betapa pentingnya memulihara alam sekitar, mereka akur dan sanggup mengeluarkan sedikit belanja.
“Ia agak sukar pada peringkat permulaan, namun campur tangan kerajaan serta program-program kesedaran akhirnya dapat membantu kami merealisasikan inisiatif ini kerana mereka juga pentingkan keharmonian serta keselesaan hidup sepanjang hayat,” katanya.
Undang-undang Kitar Semula itu akan dinilai setiap lima tahun untuk disesuaikan dengan situasi semasa dan ia baru digubal untuk pertama kalinya baru-baru ini.
Terdapat 30 pusat kitar semula PETEC di seluruh Jepun dan 190 pusat pengumpulan perkakasan untuk dikitar semula.
Kazuyuki berkata, beberapa syarikat berkaitan dibahagikan kepada dua kumpulan A dan B.
Kumpulan A yang terdiri dari Panasonic dan Samsung memiliki 30 pusat kitar semula, sementara Kumpulan B terdiri dari Hitachi, Mitsubishi, Sanyo, Sharp dan Sony memiliki 16 pusat kitar semula, dan dua lagi pusat kitar semula dimiliki oleh kedua-dua Kumpulan A dan B untuk menjadikan semuanya 48 pusat kitar semula di seluruh Jepun.
Menurutnya, walaupun inisiatif sudah dilaksanakan hampir tujuh tahun, namun masih banyak timbul masalah terutamanya tahap kesedaran di kalangan masyarakat.
“Kajian kami menunjukkan kira-kira 20 juta unit dari empat jenis perkakasan ini dibuang setahun dan hanya setengah bahagian saja dapat dikitar semula secara baik. Oleh itu, masih banyak perkara harus difikirkan untuk mengatasi pemasalahan itu,” katanya.
“Kami juga menggunakan pendekatan memberi diskaun bayaran sebagai galakkan dan memikirkan kaedah untuk mengesan semula setiap barangan yang kami jual, selain menjalankan program kesedaran dan pendidikan di kalangan masyarakat serta kanak-kanak sekolah.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Tony Endoh, inisiatif serupa boleh dilaksanakan di Malaysia sekiranya ada sokongan dari Kerajaan.
“Kita perlukan sokongan dan sentiasa bersedia membantu Kerajaan Malaysia dalam usaha menggalakkan rakyat tempatan supaya mengitar semula setiap perkakasan yang digunakan di rumah.”
“Sehubungan itu, kami akan menganjurkan beberapa program kesedaran dan pameran produk-produk baru yang mesra alam sekitar. Kami turut memperkenalkan produk yang menjimatkan tenaga serta kurang mengeluarkan karbon dioksida untuk mengurangkan tahap kepanasan global,” katanya lagi.
Program pertama yang dianjurkan ialah pameran ‘eco ideas’ di pusat membeli belah Mid Valley mulai Jumaat (10 Oktober) hingga Ahad ini. Masuk adalah percuma mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
|
|