Pembaca berita yang juga bekas pesilat kebangsaan ini sentiasa dekatkan diri dengan sukanBERTUGAS sebagai pembaca berita sukan, Hasnida Hanim Ahmad Kamil tidak sekadar membaca teks yang diberikan tetapi dirinya juga perlu lengkap dengan pengetahuan berhubung sukan terutama perkembangan sukan tanah air.
Pengetahuan itu perlu memandangkan dia juga seorang wartawan sukan dan untuk melengkapkan informasi mengenai sukan, personaliti berusia 26 tahun itu yang mesra dengan panggilan Hanim turut menyertai beberapa acara sukan, dan bowling menjadi antara aktiviti kegemarannya.
Bermain bowling bukan sekadar menjadi aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya dia sering mengikuti pertandingan yang dianjurkan TV3, sama ada perlawanan antara jabatan atau Karnival Sukan TV3.

“Pertandingan bowling membabitkan antara jabatan diadakan secara berpasukan dan disertai kakitangan daripada pelbagai unit.
“Karnival Sukan TV3 pula diadakan setiap tahun kecuali tahun ini dan kejohanan membabitkan perlawanan antara rumah sukan dan saya sebelum ini pernah mewakili pasukan ungu,” katanya yang sering berpasangan dengan pengarah studio, Hazimah Abu Hanifah.
Ketika mengadakan sesi fotografi di Bangsar Bowl di Pusat Membeli Belah Bangsar, Hanim sememangnya berbakat dan mampu beraksi dengan baik.
Selain bermain bowling, Hanim juga hebat sebagai pemain bola jaring dan sering menyertai perlawanan antara media dengan beraksi sebagai pemain tengah.
Semasa zaman remajanya, Hanim adalah seorang pesilat kebangsaan dengan mewakili Perak di kejohanan kebangsaan termasuk di Sukan Malaysia (Sukma) di Pulau Pinang pada tahun 2000.
Dia turut dipelawa untuk menyertai skuad kebangsaan dengan mewakili pasukan negara ke Sukan Sea 2001, tetapi komitmen kepada pelajaran membuatkan dia terpaksa menarik diri.
“Ketika dipanggil untuk latihan ke Sukan Sea, saya berada di tahun akhir peringkat Diploma. Jadi saya terpaksa menarik diri.
“Bagi kejohanan kebangsaan baru-baru ini, saya ada dipelawa untuk turut serta tetapi komitmen kepada tugas pula memaksa saya menolak,” katanya yang seangkatan dengan pesilat kebangsaan, Rina Jordana.
DATA
NAMA: Hasnida Hanim Ahmad Kamil
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1980
ASAL: Ipoh, Perak
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Sains Sukan, UiTM
KERJAYA: Pembaca Berita dan Wartawan Penyiaran
ATLIT IDOLA
Tempatan
Mokhtar Dahari (Bola sepak)
Luar Negara
Maria Sharapova (Tenis)