"EMAK! Laman rumah kita pasti cantik jika semua bunga di sini boleh dibawa pulang," kata seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kepada ibunya menyebabkan si penjual bunga yang terdengar perbualan itu tersenyum lebar.
Demikian luahan kanak-kanak ketika mereka sekeluarga mengunjungi Pesta Flora Kelantan 2008 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini.
Acara itu diadakan sejak 1993 sempena sambutan perayaan ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan.
Tahun ini tema 'Keindahan Flora Kedamaian Rakyat' dipilih sebagai tema Pesta Flora, seiring hasrat kerajaan negeri yang mahukan keindahan flora menjadi daya tarikan dan kebanggaan rakyat Kelantan.
Aktiviti selama 10 hari itu termasuk pertandingan landskap antara pihak berkuasa tempatan (PBT), pertandingan bunga khas, gubahan bunga, bunga kertas, bonsai, orkid, bunga ros, kaktus dan bunga aromatik.
Pameran model landskap antara sekolah, pertandingan memancing dan memasak ikan air tawar serta keindahan pejabat PBT turut berlangsung.
Pesta Flora turut menampilkan dua acara baru, klinik flora kelolaan Jabatan Pertanian Kelantan dan pertandingan bunga gantung.
Lebih 300 spesies bunga termasuk orkid pelbagai saiz, bentuk, tona warna dan tekstur daun dipamerkan serta dijual kepada pengunjung.
Selain itu, pertandingan landskap dan dekorasi bertemakan 'Landskap Identiti Bangsa' membabitkan reka bentuk, peralatan serta halaman rumah bercirikan warisan Melayu lama turut menarik perhatian pengunjung.
Hati mana tidak teruja apabila melihat keunikan dan keindahan pelbagai jenis rumah yang dibina oleh 12 PBT dari seluruh Kelantan dengan bermotifkan seni bina zaman silam.
Justeru, ada yang sanggup mengambil gambar setiap ceruk halaman rumah terbabit untuk dijadikan panduan sebelum digarapkan pada landskap rumah masing-masing.
Mata pengunjung pasti terpukau melihat susun atur landskap dan dekorasi laman rumah yang dibina sebegitu indah sekalipun ia dibuat dalam ruang agak sempit serta terhad.
Kehebatan kehalusan pertukangan dan ukiran Melayu yang 'diterjemahkan' pada bumbung, tiang seri, pagar, tangga, pintu dan jendela cukup mengagumkan.
Penggunaan tempayan lama dengan 'gayung (timba) tempurung', perigi bersama penceboknya upih pinang dan pergola batang nibung, selain pelbagai bentuk pagar daripada kesenian tangan seperti anyaman mengkuang, akar beluru dan buluh betung dianggap penyemarak keceriaan landskap taman Melayu lama.
Bagi menggambarkan lagi suasana zaman Melayu silam, pokok pinang merah (areca catechu) turut ditanam, selain pokok paku pakis jenis tanduk rusa yang digantung pada kayu buruk.
Tanaman renek berbunga seperti bunga raya, pokok berdaun merah (coleus spp) dan merrillia caloxylon yang ditanam di laman depan terus menceriakan keindahan landskap.
Pokok keladi bunting (eichhornia crassipes) turut diletakkan dalam mini kolam manakala peralatan memasak tradisional berupa batu kisaran pula dibentuk menjadi air terjun bertingkat.
Kreativiti si pereka turut terserlah apabila mereka membina laluan pejalan kaki daripada kayu jenis lasak yang dibentuk menjadi bulat, melintang atau bersegi empat berdasarkan kesesuaian persekitaran rumah.
Selain itu, turut dibina replika keris, pelbagai jenis buaian kayu buatan tangan berpaksikan rotan dan wakaf beratapkan rumbia yang lengkap dengan dam aji serta lampu gasolin.