SEBAIK melangkah masuk ke Orchids4U, deretan koleksi orkid phalaenopsis yang tumbuh subur memukau pandangan dalam mengilhamkan dekorasi menarik ruang dan laman kediaman anda.
Sekali imbas, suasana nyaman ala semula jadi itu memberi peluang pengunjung menghias ruang tamu, ruang makan, ruang dapur, bilik tidur dan ruang pejabat dengan phalaenopsis.
Tidak hairanlah, Orchids4U yang sebahagian daripada Sinar Murni Landscaping (M) Sdn Bhd itu sering menerima kunjungan orang ramai.
Menurut Pengarah Sinar Murni Landscaping, Dzulriza Asmat, phalaenopsis antara orkid yang popular kerana memiliki pelbagai keunikan tersendiri.
“Menariknya, jambangan bunga berasaskan orkid yang dihasilkan Orchids4U menyerupai rama-rama dan aneka warna khususnya warna lembut sekali gus menyerikan ruang kediaman atau pejabat anda.
“Phalaenopsis tahan lama kerana kuntuman bunga boleh bertahan selama dua hingga tiga bulan,” katanya.
Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari terang, tetapi dalam keadaan teduh untuk membesar dan berbunga.
Ia amat sesuai diletakkan berhampiran tingkap yang menghadap ke timur, barat atau selatan.
Gunakan langsir lutsinar atau tirai untuk mengelak pancaran terus cahaya matahari selain cahaya lampu boleh digunakan untuk menggantikan cahaya matahari.
“Sepatutnya daun orkid berwarna hijau sederhana dan jika didapati orkid anda berdaun kekuningan atau hijau gelap, bermakna ia kurang atau terlebih menerima cahaya matahari.
“Suhu rumah atau bilik antara 25 hingga 30 darjah selsius untuk waktu siang, manakala malam lebih rendah.
“Suhu yang melebihi 32 darjah selsius boleh membantutkan tumbesarannya,” katanya.
Phalaenopsis tidak boleh terlalu kering atau basah tetapi dalam keadaan lembap dan ia mesti disiram secukupnya.
Kekerapan menyiram bergantung kepada bahan penanaman sekurang-kurangnya tiga hingga 10 hari sekali.
Waktu siraman terbaik ialah pagi dan tidak digalakkan menyiram ketika malam kerana boleh menyebabkan berlakunya pereputan.
Di samping itu phalaenopsis membesar dengan baik di bawah tahap kelembapan tinggi dan gunakan baja seimbang.
Anda juga boleh menukar pasu atau bahan penanaman sekali setahun selepas bunga yang terakhir gugur.
Gunakan pasu plastik lutsinar besar sedikit daripada saiz akar supaya pasu tidak kekal basah dan gunakan bahan penanaman yang dapat mengekalkan kelembapan seperti sphagnum moss.
Anda yang berminat membuat tempahan boleh berkunjung ke Orchids4U di Lot 1047, batu 22 1/2, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor atau menghubungi talian 03-87236233 atau layari www.orchids4u.com.my.