CITA RASA dan perubahan zaman menyaksikan pelbagai rekaan sofa diketengahkan untuk memenuhi konsep hiasan dalaman.
Sofa mempunyai keunikan tersendiri bagi membangkitkan nilai estetika dan sentuhan berbeza pada ruang.
Justeru, sebelum membeli sofa, kaji saiz dan ruang kediaman anda supaya kelihatan kemas.
Jika ruang kediaman luas, pilih sofa tiga tempat duduk sebagai pelengkap titik fokal khususnya ruang tamu.
Cuba lahirkan suasana berbentuk pulau dengan kedudukan susunan sofa berada pada bahagian tengah ruang.
Meja kopi utama boleh dijadikan titik tengah dengan konsep suai padan yang memberi ketenangan dan simbol keindahan dekorasi pilihan anda.
Jarakkan meja kopi berkenaan sekurang-kurangnya 12 inci bagi memudahkan tetamu selesa menjamu selera.
Jika mempunyai keluarga besar atau anak kecil, pilih sofa boleh ditukar kemasan lembut luarnya.
Sementara itu kediaman yang mempunyai ruang terhad, memadai sofa satu tempat duduk kerana ia lebih praktikal.
Anda tidak rugi jika memilih sofa yang hanya satu gaya tetapi ia tampil lebih menarik dengan kreativiti anda.
Hasilkan sarung sofa berlainan fabrik dan gaya berbeza atau bagi kediaman yang mempunyai ruang sempit, cukup dengan menutup kaki sofa utama.
Keindahan ruang juga turut terserlah dengan kemasan sofa yang diserikan bantal hiasan berbeza corak dengan sofa.
Sofa bergaya polos lebih sesuai dilengkapi bantal hiasan bercorak atau motif pilihan dan perlu disedari bahawa meletakkan bantal berkenaan terlalu banyak boleh menimbulkan rasa tidak selesa tetamu.
Lebihan ruang yang biasanya diletakkan televisyen boleh diperkemaskan dengan kehadiran permaidani bagi menampakkan pembahagian antara perabot utama dengan aksesori hiasan dalaman lain.