MENGILHAMKAN pengubahsuaian kediaman mengikut cita rasa perlu diteliti sebaik mungkin kerana segala kreativiti itu melambangkan keperibadian anda sebagai pemilik kediaman.
Mungkin ramai yang kurang tahu kepentingan ruang tamu berubah fungsi menjadi ruang menempatkan barangan penting kediaman.
Hakikatnya ada yang cenderung meletakkan koleksi aksesori hiasan tanpa memikirkan ruang tamu juga sesuai menyimpan barangan keperluan anda dan keluarga.
Lakukan pengubahsuaian dengan langkah paling bijak melalui pilihan reka bentuk kabinet yang bukan saja menempatkan pelbagai barangan malah sedap mata memandang.
Dalam merealisasikan ruang tamu antara lokasi penyimpanan barang, anda boleh membeli meja kopi yang mempunyai ruang sesuai untuk menyimpan barang.
Binaan para atau kabinet bergaya ringkas dan letakkan kotak yang menarik sebagai ruang atau tempat penyimpanan barang.
Malah, binaan para atau kabinet kelihatan kemas dan tersusun jika reka bentuknya tertutup dengan kemasan cermin lutsinar.
Jika memilih langsir, pastikan ia seperti gaun pengantin yang serba indah dan eksklusif.
Elakkan langsir berkenaan tergantung hanya pada paras tingkap dan seelok-eloknya biarkan labuh ke lantai supaya kelihatan lebih sempurna.
Tidak perlu menggunakan sebarang fabrik pada bahagian pintu kerana ia hanya mengganggu laluan keluar masuk selain menghalang visual rekaan pintu yang menarik.
Memilih fabrik langsir sesuai dipadankan dengan bantal hiasan sofa tentunya membuatkan suasana harmoni dan lebih seragam.
Fabrik langsir jenis kain sari atau fabrik biasa yang berfungsi sebagai pemidang lembut dan bersifat mudah alih.
Pilihan fabrik jarang juga menzahirkan ruang untuk tampil luas selain selesa, mudah diuruskan dan dibersihkan materialnya.
Di samping itu, pilihan polos dengan pilihan aksesori seperti hiasan dan lukisan yang tidak terlalu sarat membantu anda mendapat ruang yang penuh dengan sentuhan seni.