KETENANGAN dan kedamaian semula jadi banyak ber hubung rapat dengan kehadiran elemen air di taman atau ruang kediaman anda.
Apatah lagi idea seni taman terlalu luas dan kreativiti yang digarap sepenuhnya melahirkan suasana landskap nyaman serta penuh dengan keselesaan.
Banyak yang boleh dimanfaatkan bagi membentuk titik fokal berkesan melalui kehadiran elemen air hiasan atau ‘water features’ pada latar landskap kediaman anda.
Kini kehadiran air berpancuran yang diperbuat daripada simen berwarna kian popular kerana ia mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep dalaman.
Tanpa disedari, langkah menempatkan air berpancuran yang kelihatan ringkas dan sederhana di taman secara langsung mewujudkan titik fokal terbaik.
Reka bentuk praktikal, tekstur menarik dan warna semula jadi seperti kuning air, hitam dan kelabu juga membantu menyerlahkan konsep taman impian anda.
Jatuhan jaluran air yang bersilih ganti dari pasu takungannya mencipta visual yang lebih semula jadi bagaikan gambaran desa permai.
Air berpancuran berasaskan simen berwarna itu direka khas menyerupai sistem binaan batu semula jadi penuh dengan nilai seni tersendiri sesuai untuk taman berkeluasan besar dan terhad.
Bagi menyuntik suasana segar dan keharmonian alam, anda dicadangkan supaya meletakkan tumbuhan akuatik seperti kiambang dan teratai dalam air berpancuran itu.
Bagaimanapun, dalam usaha menyerlahkan keindahan se mula jadi itu menggunakan air berpancuran simen berwarna itu, pelbagai perkara perlu diambil kira termasuk aspek keselamatan dan penyelenggaraannya.
Menurut Pensyarah Jabatan Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shureen Faris Abdul Shukor, perkara paling utama perlu bijak memilih saiz struktur elemen air hiasan supaya ia seimbang dengan skala keluasan halaman.
“Bagi taman yang luas, penempatan elemen air hiasan menyuntik suasana berbeza dan kesinambungannya dengan persekitaran serba lengkap.
“Begitu juga dengan halaman kecil kerana masih mampu menambahkan keindahan penataan laman untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis reka bentuk saiz dan gaya fizikal air hiasan itu,” katanya.
Malah, susun letak dan kedudukan air berpancuran itu di segenap sudut laman memainkan peranan tersendiri selain terapi semula jadi yang tenang.
“Tidak ketinggalan aspek keselamatan khususnya bagi anda yang mempunyai keluarga besar atau memiliki anak kecil.
“Fikirkan juga keseimbangan antara keperluan dan ke selesaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sebagai langkah bijak, Shureen Faris mencadangkan supaya ruang permainan kanak-kanak dibina pada sudut taman bagi mengalih tumpuan mereka.
Dari segi penyelenggaraan pula, Binaan air hiasan hen daklah dibersihkan sekali setahun dan gunakan sarung tangan sesuai untuk tujuan keselamatan.
Pam atau alirkan air keluar dari ruang takungan dan bagi menanggalkan segala kotoran, gunakan larutan sabun.
Sental dengan berus sabut kasar menggunakan cuka yang sudah dilarutkan dalam air bagi menanggalkan kotoran.