PENATAAN ruang kediaman yang diinspirasikan seindah mungkin menerusi penelitian dan kesesuaian konsep dekorasi hakikatnya mampu menzahirkan segala impian pemiliknya.
Kepelbagaian bentuk ruang sebenarnya menuntut kebijaksanaan anda dalam usaha suai padan antara elemen sedia ada dan tambahan.
Segala keistimewaan itu diilhamkan sepenuhnya Nor Masita Sulaiman, 34, pada kediamannya yang terletak di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Sebaik melangkah masuk ke kediaman serba indah itu, mata terpukau dengan konsep dekorasi yang diketengahkan apatah lagi tersusun rapi perabot dan aksesori hiasan dalamannya.
Haruman aromaterapi yang melatari segenap ruang seolah-olah membayangkan anda bagaikan berada di sebuah spa.
Sementara reka letak meja makan eksklusif yang disusun menyerong bersebelahan ruang tamu dihias indah ala hotel mewah.
Ilusi ruang lebih tampil berbeza apabila kemasan dinding berlatarkan tona hijau lembut membuatkan sejuk mata memandang.
Sambil tersenyum manis ketika menyingkap pengalamannya mula menghias kediaman itu sejak didiami pada 2004, Nor Masita tidak menafikan minat mendalam kepada dunia hiasan dalaman antara faktor utama.
“Sebelum berpindah ke sini saya dan suami Ir Md Jamil Ishak, 39, sudah memilih konsep dekorasi dan mula mengumpul perabot dan aksesori hiasan dalaman sesuai dengan cita rasa kami.
“Ruang tamu diberi sentuhan klasik gaya Itali kerana suasana begini memang menjadi impian saya sejak dulu,” kata Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Kejaya, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia itu.
Sekali imbas bagaikan khidmat pakar hiasan dalaman digunakan untuk reka letak terbaik kerana setiap perabot dan aksesori amat sesuai kedudukannya hingga tidak jemu mata memandang.
Menjenguk pula ruang antara dapur yang bersebelahan bilik belajar, gaya Inggeris diterapkan cukup menarik selain menampakkan kemasan harmoni mendamaikan.
Meninjau kemasan di ruang atas pula sentuhan kreatif gaya Inggeris untuk bilik bilik si kecil tetap menjadi pilihan utama.
Tiada apa yang dapat diperkatakan apabila pandangan dilontarkan pada kamar tidur utama lengkap bergaya Itali.
Kombinasi kemasan fabrik, dinding dan padanan perabot menyerlahkan kreativiti pemiliknya.
Uniknya di bahagian tengah antara bilik, ruang menonton diwujudkan dalam suasana santai dan penuh keselesaan.
Menceritakan rahsia penjagaan dan rutin harian mengekalkan keindahan ruang kediaman teres dua tingkat itu Nor Masita berkata awal pagi sebelum ke tempat kerja, dia menghabiskan masa mengemas dan membersihkan segenap inci ruang.
“Nasihat ibu sentiasa menjadi ikutan saya bahawa dalam apa jua situasi kebersihan dan kekemasan menjadi perkara paling utama.
“Mengemas dan menghias rumah bagi saya antara terapi kehidupan yang amat bernilai kepuasannya dan memberikan seribu ketenangan apabila pulang dari kerja” kata anak kelahiran Selayang Baru Selangor itu.
Wanita yang mesra disapa Bonda itu berkata dia dan suami mengubah kedudukan perabot dan aksesori hiasan dalaman setiap enam bulan sekali mengikut situasi dan kehendak naluri.