SEMPENA Festival Makanan Johor 2008, peminat kraftangan tempatan berpeluang menyaksikan idea sentuhan kreatif dan eksklusif di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.
Bertujuan mempamerkan keindahan dan keunikan setiap idea kreatif yang diketengahkan beberapa usahawan dari Johor, program berkenaan turut memberi tumpuan kepada daya tarikan pelancong asing.
Menurut Pengurus Komunikasi Hotel Grand Season, Terry J, festival yang dijangka berakhir esok itu bukan mempromosikan semua jenis masakan popular Johor, tetapi merangkumi kraftangan dan tarian kebudayaan negeri berkenaan.
“Sepanjang tempoh itu, pengunjung secara langsung boleh menikmati sajian istimewa Johor di Season Cafe termasuk laksa Johor, asam pedas ikan parang dan nasi beriyani gam.
“Pada masa yang sama dihiburkan dengan tarian kebudayaan Johor dan meneliti keunikan kraftangan negeri berkenaan selain mempamerkan nilai estetika tersendiri,” kata Terry.
Bertempat di ruang legar hotel itu, dari jauh setiap pengunjung tentunya terpukau dengan kreativiti yang diserlahkan KRT Kraf Parit Jawa, Muar menerusi kraftangan kitar semulanya.
Berasaskan surat khabar lama, anyaman membentuk pelbagai jenis bakul dan pasu yang bersifat dwifungsi itu direka khas dengan gaya kontemporari mengikut peredaran zaman.
Kesesuaian kraftangan itu yang lebih menarik sekiranya diletakkan pada sudut kediaman atau sebagai aksesori penghias almari kabinet.
Keindahannya juga dapat diserlahkan melalui gubahan bunga indah khususnya dalam melengkapi konsep nusantara atau warisan Melayu.
Jika bernasib baik, pengunjung tentunya berkesempatan melihat sendiri demonstrasi anyaman kraftangan unik itu.
Ilham dekoratif Johor Craft juga tidak kurang hebatnya kerana setiap motif pasu seramik yang dipamerkan mampu mencuri perhatian sesiapa saja.
Malah, motif batik tempatan yang penuh dengan seni dan olahan warna harmoni sudah cukup membanggakan kerana proses pembuatannya yang teliti.
“Peminat kraftangan ini boleh menambah koleksi mereka atau menjadikan ia sebagai cenderahati paling bernilai
“Tidak hairanlah apabila semua kraftangan yang dipamerkan itu berjaya mencuri perhatian setiap pelancong asing yang menginap di hotel ini,” kata Terry.