BAKAL muncul antara bandar serba lengkap, Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka mampu merealisasikan impian masyarakat negara ini.
Projek pembangunan bersepadu itu dilaksanakan secara usaha sama dengan Perbadanan Pembangunan Negeri Sembilan.
Terletak di atas tapak berkeluasan 2046.4 hektar bernilai tinggi dan mengandungi jaringan luas kawasan perindustrian, komersial, kediaman, institusi dan pelbagai kemudahan lain, Bandar Enstek mendapat sambutan menggalakkan.
Lebih membanggakan kerana pemajunya TH Properties Sdn Bhd, menerima Anugerah Kecemerlangan Perancangan bagi Pembangunan Perbandaran menerusi Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2008, baru-baru ini.
Pemaju yang sering memperkenalkan pembaharuan dalam pembangunan hartanah menerima anugerah berkenaan kerana membangunkan Bandar Enstek dalam suasana serba lengkap.
Gabungan teknologi terkini dengan kehijauan alam semula jadi membolehkan Bandar Enstek menjadi tumpuan ramai.
Malah, konsep binaan yang menampilkan perancangan teliti, mematuhi segala keperluan dan piawaian perancangan serta memenuhi prinsip pembangunan mampan dan format persembahan terbaik meletakkan Bandar Enstek menarik.
Pada masa yang sama Bandar Enstek antara projek pembangunan hartanah unik dan berbeza daripada kawasan perbandaran yang lain.
Dijangka siap sepenuhnya pada 2025, Bandar Enstek membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan hampir RM9.2 bilion.
Ia merangkumi 24 peratus kediaman, industri berteknologi tinggi (sembilan peratus), institusi termasuk pusat pendidikan (24 peratus), komersial (tiga peratus) dan bakinya bagi tujuan riadah.
Kedudukannya yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) memudahkan ia dihubungkan melalui pelbagai rangkaian jalan raya dan lebuh raya.