MEMBERI sentuhan hebat pada ruang balkoni antara pelengkap utama dekorasi kediaman khususnya pangsapuri dan kondominium.
Dari pandangan luar, ruang balkoni kelihatan eksklusif dengan rekaan sengaja dibiarkan nampak samar atau separa tertutup.
Ia bagi mengelakkan ruang balkoni anda diintai dan secara tidak langsung menjadi ruang selesa untuk bersantai.
Mewujudkan reka bentuk balkoni bergaya Melayu berkarakter boleh diketengahkan melalui kehadiran batu-batan dan bentuk geometri ala seni taman Jepun.
Elemen kayu seharusnya menjadi teras reka bentuk dengan kesan pencahayaan daripada bayang kekisi berbentuk geometri pada balkoni.
Malah, pemilihan tanaman hiasan vertikal dan mudah diselenggara seperti asplenidum nidus amat sesuai.
Jangan lupa aspek susunan, kekemasan dan kebersihan balkoni supaya sentiasa kelihatan menarik serta selesa.
Penggunaan dek, pintu kayu dan panel tingkap yang berasaskan kayu membantu menyerikan gaya balkoni pilihan pemiliknya.
Dek kayu secara bertingkat digunakan sebagai ganti lantai jubin dan elemen itu secara langsung membawa pemandangan saujana indah ketika berdiri di balkoni.
Gunakan tingkap kayu berbentuk melengkung untuk memberikan teduhan dan menghasilkan sistem pencahayaan semula jadi.
Dalam menambah sentuhan gaya Melayu, pintu kayu boleh digunakan bagi menggantikan pintu gelungsur.
Seterusnya pintu kayu perlu dilengkapi cermin terus pandang bagi menyuntik visual pemandangan indah di luar sana.
Binaan para pada dinding boleh diketengahkan untuk meletakkan susun pasu bunga yang menarik selain ornamen hiasan memenuhi ruang kosong.
Penggunaan air berpancuran mini juga menarik jika pemilik ingin hiburan halwa telinga dan pandangan secara semula jadi.