MEWUJUDKAN dekorasi terbaik untuk bilik si kecil memerlukan perancangan teliti bagi memperlihatkan kesinambungannya seiring perkembangan usia.
Kesesuaian tema untuk bilik si kecil memainkan peranan penting khususnya menentukan jenis perabot dan warna yang ingin diketengahkan.
Bagi memastikan tema dipilih bertahan lama dan tidak lapuk ditelan zaman, fikirkan bentuk hiasan yang boleh digunakan dalam jangka masa lama.
Sekurang-kurangnya tema pilihan boleh mewarnai suasana kamar si kecil hingga usianya mencecah 6 tahun.
Lebih tepat tema hutan antara pilihan popular kerana ia sesuai ditampilkan dari usia bayi hingga menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Pada masa yang sama fabrik bertona asas mudah disuai padan dan digunakan dalam jangka masa panjang seiring usia anak anda.
Langkah kedua ialah memikirkan kemasan dinding terbaik untuk si kecil kerana warna merangsang minda dan tumbesaran anak anda.
Gunakan warna kegemaran anak anda dan biasanya perempuan lebih cenderung kepada tona lembut seperti merah jambu manakala lelaki pula meminati biru.
Anda seharusnya berani dan kreatif dalam mengaplikasikan warna pada dinding melalui teknik mengecat yang sesuai seperti menampilkan dua tona berbeza.
Seterusnya dalam menjimatkan perbelanjaan, perabot tahan lasak, praktikal dan dibekalkan dengan ciri keselamatan perlu diambil kira.
Tempatkan katil dua tingkat yang menjimatkan ruang lebih murah sekiranya anda bercadang menjadikan bilik berkenaan untuk si kecil dan adiknya.
Katil bujang bersaiz besar juga boleh digunakan sekiranya mempunyai ruang luas dan perabot berkenaan sesuai digunakan hingga anak anda remaja.
Malah, terdapat juga pilihan katil bayi yang boleh digunakan hingga usia kanak-kanak selain bersifat praktikal dan dilaraskan mengikut ketinggian.
Memilih perabot bersifat dwifungsi seperti laci di bahagian bawah katil boleh dijadikan tempat menyimpan pakaian.
Meja di bahagian sisi katil pula lebih sesuai digunakan sebagai meja bacaan, kepala katil sebagai tempat menyimpan buku serta himpunan kotak kertas pula bekas untuk alat permainan.
Dari segi sistem pengaliran udara pula, penggunaan tingkap amat penting untuk penataan cahaya semula jadi dan mengelakkan suasana suram.
Kemasan langsir berfabrik nipis amat digalakkan kerana bukan sekadar menjimatkan wang malah ia boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti anda.