MEREALISASIKAN tema Irama Alam yang menginspirasikan keindahan sebenar alam sekitar, Festival Antarabangsa Landskap & Taman Malaysia (Laman) 2008 bagaikan cetusan idea konsep kehijauan.
Dibuka bermula 9.30 pagi hingga 9.30 malam, Laman 2008 itu dianjurkan Jabatan Landskap Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta dihoskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), diharap dapat memupuk semangat prihatin dan cintakan alam sekitar di kalangan semua lapisan masyarakat.
Bertempat di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, Laman 2008 dijangka berakhir esok adalah kesinambungan kejayaan Laman 2006 yang mensasarkan lebih 300,000 pengunjung.
Mengambil kira kesan yang terjadi kepada alam sekitar akibat fenomena pemanasan global, Laman 2008 bertujuan mengajak masyarakat negara ini berganding bahu mengekalkan keindahan alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Menjanjikan acara yang lebih berprestij, keindahan landskap Taman Tasik Perdana itu diserikan dengan komponen pameran luar iaitu taman dunia (pertandingan), ekspo taman (pertandingan), laluan festival dan seni alam sekitar.
Sementara komponen pameran dalam pula membabitkan taman tema dalam pertunjukan antarabangsa, jelmaan musim, pameran 50/50, ukiran bunga, pintu gerbang utama dan gubahan bunga.
Buat pertama kali, pelawat Laman 2008 pastinya berpeluang melihat sendiri rekaan landskap istimewa berkonsepkan pelbagai tanaman herba dan sayur-sayuran atau dikenali sebagai Edible Garden oleh isteri Perdana Datin Seri Jeanne Abdullah.
Pemilihan tanaman yang diketengahkan menerusi Edible Garden menggambarkan konsep ‘edible’ iaitu boleh dimakan sama ada daripada herba dan akarnya hinggalah buah serta bunga dihasilkan.
Bagi Fatimah Zohro Hasan, 56, Edible Garden mempamerkan sepenuhnya alternatif tanaman di laman kediaman untuk kegunaan harian.
“Sekurang-kurangnya kita tahu kesesuaian tanaman dan reka letak yang lebih menarik supaya tidak kelihatan berserabut dan sedap mata memandang,” kata Fatimah Zohro.
Tidak ketinggalan penataan Landskap Majlis-Majlis Perbandaran Negeri Johor yang menerima anugerah sempena Laman 2008 itu menampilkan keistimewaan tersendiri dengan reka bentuk kuda kepang sebagai identitinya.
Seterusnya konsep Esok Hari Raya diketengahkan Majlis Bandaraya Melaka melalui keunikan kombinasi pertemuan antara budaya dan persekitaran.
Meninjau pula latar Taman ilham DBKL yang tidak kurang hebatnya kerana konsep pilihan tanaman, kincir air dan replika kereta kuda bagaikan pemandangan tenang sebuah desa.
Bagaimanapun, Taman Buluh ilham Jabatan Landskap Negara ialah sebuah taman yang mengadaptasikan spesies pokok buluh sebagai pelengkap utama taman.
Konsep taman mini terbuka itu mewujudkan suasana santai dengan binaan beberapa landskap menarik di sekitarnya.
Ternyata Laman 2008 turut mempamerkan aneka jenis landskap dan bunga-bungaan antarabangsa termasuk dari Jepun, Kanada dan Filipina.
Berkunjung ke latar pameran itu bagaikan membawa anda benar-benar berada di negara berkenaan dengan kesegaran warna bunga-bungaanya.