KESERASIAN idea dan cita rasa mampu menjadikan kediaman kelihatan menarik, ceria dan memenuhi konsep pilihan khususnya di kediaman yang berkeluasan terhad.
Mewujudkan suasana kediaman sedap mata memandang bagaikan kreativiti terbaik kerana ia tempat melepaskan lelah selepas penat bekerja seharian.
Penampilan suasana tidak seperti yang diharapkan pastinya mengganggu ketenangan dan keharmonian pemilik serta keluarga.
Pilihan tona lembut sebagai kemasan dinding antara keistimewaan yang dapat dipancarkan pada ruang sempit.
Kemasan dinding pada ruang tamu umpamanya sesuai diketengahkan tona krim, tona hijau cair untuk bilik tidur anak lelaki sementara bilik tidur utama lebih menarik dengan tona ungu lembut.
Perubahan warna mengikut kombinasi dari terang kepada tona lebih pucat memberikan kesan seiring kepekatannya.
Gabungan dua tona untuk menyerlahkan kesan tekstur berbeza digalakkan untuk ruang sempit kerana setiap skema warna mempunyai ciri kontras tersendiri.
Kehadiran fabrik sofa dengan tona bumi dan fabrik langsir menggabungkan tona putih dengan merah hati sekali gus menyerlahkan penataan ruang tamu serba indah.
Tidak ketinggalan, kemasan lantai juga perlu diberi perhatian dan mengindahkan visual pandangan tersendiri apabila lantai berlamina menjadi pilihan kebanyakan pemilik kediaman.
Bukan sekadar fabrik sofa, malah pilihan perabot bergaya ringkas dan tidak terlalu padat dengan corak membantu ruang kelihatan selesa.
Seterusnya di ruang dapur juga tidak seharusnya dilupakan tata hiasnya walaupun hanya terletak di satu sudut khas.
Kreativiti pemilik dalam menyusun atur kedudukan perabot dan kabinet di ruang berkenaan mampu menjadikan ia begitu praktikal serta ringkas.
Rekaan ruang dapur berbentuk U lengkap dengan kabinet berlaci sesuai digunakan supaya ruang kelihatan selesa selain tidak mengganggu pergerakan.
Reka bentuk jenis U selalunya terletak berdekatan, iaitu di antara ruang supaya dapat mengelakkan berlakunya kesesakan laluan pada bahagian utama dapur.
Biasanya bentuk praktikal itu menyediakan tiga dinding untuk stor penyimpanan dan ruang kaunter.
Di samping itu, peti sejuk dan sinki boleh disusun mengikut kesesuaian maksimum serta kabinet berbentuk U itu juga membantu proses memasak berjalan lancar kerana menyediakan pengaliran udara yang baik.