PERSEKITARAN tenang dan mendamaikan antara tarikan utama projek perumahan Antara Gapi di Hulu Selangor, Selangor.
Dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), pembangunan Antara Gapi menampilkan landskap alam tropika dengan mengekalkan aspek keseimbangan suasana alam semula jadi.
Menariknya, Antara Gapi turut dibangunkan berlatarkan kediaman selesa berkonsepkan rekreasi dan kehidupan resort dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
Tema Kampung Ku Yang Baru juga pasti tidak mengecewakan pelaburan setiap pemiliknya kerana suasana yang sihat dan aman, bersih serta rapi menjadi keutamaan pemilik Antara Gapi.
Kedudukannya sebagai kota kediaman di kawasan berbukit membolehkan pemiliknya berpeluang menikmati pemandangan indah sepanjang masa.
Projek perumahan itu juga berada berhampiran kaki kawasan pergunungan terkemuka Genting Highlands yang cukup terkenal sebagai daya tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Malah, Antara Gapi sudah dibangunkan PKNS kira-kira 10 tahun lalu dan bertujuan mengimbangi kesibukan serta kesesakan kota di sekitarnya seperti Kuala Lumpur.
Dijangka siap pada 2010, Antara Gapi membabitkan 8,000 unit rumah kediaman dan perniagaan yang bakal menjadi pusat pertumbuhan baru yang mensasarkan 32,000 penduduk.
Berkeluasan 345.02 hektar, projek perumahan itu pada asalnya hanyalah kawasan ladang kepala sawit dan getah yang dibeli oleh PKNS untuk dibangunkan sebagai bandar baru.
Menawarkan harga berpatutan antara RM100,000 hingga RM350,000 seunit, Antara Gapi dilengkapi pelbagai kemudahan lengkap termasuk sekolah, pusat beli-belah dan kawalan keselamatan.
Antara Gapi juga antara lokasi strategik yang menghubungkan pelbagai tempat percutian menarik termasuk Air Terjun Ulu Yam dan Kalumpang Resort berhampiran Kuala Kubu Bharu serta kawasan kolam air panas di Kampung Hulu Tamu.
Tidak ketinggalan Serendah Golf Resort yang menjadi lapangan terbaik kepada peminat golf, kira-kira empat kilometer (km) saja dari Antara Gapi.
Antara Gapi hanya terletak kira-kira 10km ke utara Rawang dan berhampiran Jalan Persekutuan iaitu 35km dari Kuala Lumpur.