TAMAN tampil hebat apabila ia memperlihatkan kesan semula jadi dan mempunyai kesinambungan dengan keadaan persekitarannya.
Inspirasi seni taman sering dinilai berdasarkan keprihatinan pemiliknya terhadap pengaruh alam dan manusia dalam menjalani kehidupan harian.
Keluasan taman tidak semestinya benar-benar menggambarkan keindahan suasana melainkan kehadiran pelbagai pepohon hijau dan elemen air sebagai melengkapi konsep landskap di kediaman.
Elemen air juga memainkan peranan besar dalam pembentukan taman dan menyuntik kualiti dinamik seterusnya nilai tambah untuk penataan keseluruhannya.
Apabila memperkatakan berkenaan keindahan dan pembentukan taman, Maxly Landscape Sdn Bhd tentunya tidak asing lagi di kalangan peminat dunia landskap khususnya kolam mini air berpancuran.
Selesa dengan konsep RasBali, kebanyakan reka bentuk kolam mini dilengkapi dengan air berpancuran gaya ala semula jadi dalam mengilhamkan ketenangan.
Antara jenis kolam mini RasBali yang popular ialah Nusa Dua, Kuta, Sanur dan Bedugul melalui pelbagai reka bentuk pilihan.
Keunikan dan nilai estetika diserlahkan menerusi kolam mini RasBali itu berbeza daripada kebiasaan kerana kesesuaian kedudukan lampu yang diletakkan dalam atau sisi kolam itu.
Penataan cahaya yang sempurna juga mengilhamkan suasana malam segar pada segenap ruang di taman selain pemandangan landskap luar biasa.
Menurut Pengurus Maxly Landscape Sherry Lee, konsep RasBali dilihat sebagai asas rekaan kolam mini Bali sesuai untuk semua jenis kediaman.
Berpandukan struktur reka bentuk, bahan yang digunakan untuk menghasilkan pancuran air itu ialah gentian dan poli gentian.
“Reka bentuk kolam mini RasBali yang dilengkapi air berpancuran bersaiz kecil, mudah dialihkan dan diselenggara selain membawa kepada pembentukan laman lebih bersahaja.
“Menariknya, kepelbagaian reka bentuk pancuran mini juga secara langsung mewujudkan suasana harmoni penuh keselesaan yang diserikan dengan unsur bunyi kesan jatuhan air,” kata Sherry.
Katanya, kolam mini RasBali juga sesuai diletakkan pada sudut kecil bagi kediaman seperti kondominium atau apartmen.
“Malah, penataan kolam juga bertambah semula jadi dengan kehadiran tumbuhan air seperti kiambang dan keladi bunting atau berstruktur vertikal khususnya di latar taman,” katanya.
Bagi mencipta suasana yang diidamkan, membela ikan dan menanam teratai dalam pasu pada kolam mini juga digalakkan.
Pada masa sama, kolam mini RasBali mudah diselenggara kerana saiz takungan airnya kecil dan air keruh boleh ditukar sekali seminggu atau biasanya sekali sebulan.
Maxly Landscape boleh dikunjungi di Lot 31 & 32, Green Lane, Jalan Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor atau layari www.maxly.com.my.