PROGRAM Casa Impian terbitan TV3 minggu ini menampilkan kelainan kerana membabitkan pengubahsuaian kediaman artis terkenal Faizal Tahir.
Faizal menyertai program berkenaan lantaran ingin memberikan kejutan kepada ibu tercinta.
Beliau masih tinggal bersama biarpun sudah berumahtangga dan mempunyai dua cahaya mata.
Pengubahsuaian itu antara hadiah paling istimewa kepada ibunya yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerjaya dan peribadi penyanyi popular itu.
Ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi tentunya memberikan seribu makna apabila ruang menonton kediaman ibu Faizal diberi sentuhan baru dengan idea dekorasi terbaik.
Sofa sesuai dan susun atur kabinet televisyen diletakkan pada kedudukan yang mampu menjadi titik fokal ruang.
Suasana lebih ceria dengan kehadiran kemasan langsir bergaya masa kini dan menyuntik keindahan pada seluruh ruang berkenaan.
Rancangan realiti pengubahsuaian itu disiarkan TV3 setiap Ahad, jam 12 tengah hari dengan membawakan konsep, wajah dan idea baru hiasan dalaman.
Bagi penonton di rumah yang penyertaan mereka tidak terpilih, jangan risau kerana peluang masih menanti mereka.
Hanya tonton Casa Impian setiap minggu dan kumpul jawapan bagi setiap soalan diberikan pada akhir rancangan 13 episod itu.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.tv3.com.my.