KAKITANGAN FGV melakukan proses pengasingan biji benih sawit.
ANTARA haiwan perosak yang menyerang pokok sawit.
PEGAWAI penyelidik menunjukkan inovasi tisu kultur sawit.
DR Sharifah Shahrul Rabiah menerangkan operasi kepada sekumpulan media.
DR Sharifah Shahrul Rabiah (dua dari kanan) melihat anak pokok sawit.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Proses penanaman pokok kelapa sawit tidak semudah yang kita sangka.

Kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi menghasilkan kualiti tanaman yang lebih tinggi.

Difahamkan, kebanyakan sesuatu varieti sawit mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk dihasilkan.

Bukan itu saja, teknologi tuaian buah sawit juga sentiasa diperbaiki bagi memastikan ia tidak bertaburan sekali gus mengurangkan kos operasi.

Oleh itu, FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) membawa sekumpulan wakil media melawat Beneficial Microbes Centre (BMC) Pusat Inovasi FGV di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Ia bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung proses tanaman pokok kelapa sawit dari peringkat awal hingga tuaian.

FGV menerusi anak syarikatnya, FGV R&D Sdn Bhd (FGV R&D) dan FGV Applied Technologies Sdn Bhd (FGVAT) diberi tanggungjawab membangunkan bahagian R&D.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV R&D Dr Sharifah Shahrul Rabiah Syed Alwee berkata, FGV memperuntukkan RM40 juta setahun untuk dua syarikat terbabit bagi meningkatkan teknologi huluan dan hilirannya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, FGV R&D menerima peruntukan RM30 juta manakala FGVAT menerima RM10 juta setahun.

“Peruntukan FGV R&D dibiayai sepenuhnya Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) melalui pengkomersialan.

“Kami mengkomersialkan bahan tanaman seperti benih kelapa sawit, anak benih, pokok klon, produk agronomi dan produk perlindungan tanaman.

“Antara benih yang dikomersialkan seperti Yangambi ML161, Three-way dan Yangambi GT-1,” katanya pada sidang media sempena lawatan media itu.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad. Turut hadir, Ketua Kluster FGV R&D Syed Salim Syed Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif FGVAT Azman Jamin.

Dr Sharifah Shahrul Rabiah berkata, FGV mempunyai kapasiti pengeluaran 30 juta setahun membabitkan tiga pusat pengeluaran benih termasuk PPPTR, Johor dan Sabah.

“Kami menyasarkan penghasilan 25 juta biji benih (RM2.35 setiap biji), 2.1 juta anak benih dan sejuta klon pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, lima juta benih adalah untuk kegunaan FGV Group sementara bakinya untuk pasaran tempatan dan global.

“Pasaran domestik masih menguasai lebih 90 peratus daripada jualan benih FGV dan selebihnya dieksport ke luar negara termasuk Filipina, Thailand, Afrika dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya turut mengkomersialkan jentera mesin menuai sawit bagi mengelak buah sawit bertaburan ketika dituai.

“Kami juga dalam usaha menambah baik mesin penangkap tandan mudah alih dan dijangka dapat menyempurnakan penghujung tahun ini untuk digunakan FGV sebelum dibuka untuk pasaran luar.

“FGVAT, melalui penyelidikan teknologi makanan juga sedang membangunkan produk untuk FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dan pihak industri yang berminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 1:42 PM