Bola Sepak

MFL umum jadual Piala Malaysia

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kehangatan Piala Malaysia semakin dirasai apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan jadual saingan piala tertua Asia Tenggara itu yang akan membuka tirai pada Ahad, 26 September ini.

Menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa perlawanan pembuka tirai nanti menyaksikan Penang FC akan bertemu naib juara Liga Perdana dan Kuala Lumpur City FC menentang Sri Pahang FC.

Selain itu, dua perlawanan lain adalah membabitkan Terengganu FC menerima kunjungan tempat ketiga Liga Perdana dan pertembungan membabitkan Selangor FC serta Perak FC.

Selain itu, perancangan jadual ini telah mengambil kira baki perlawanan dan perlawanan tertunda Liga Perdana 2021, hari rehat serta hari perjalanan kelab yang menyertai pertandingan Piala Malaysia 2021.

"Untuk makluman, pasukan kebangsaan akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa semasa tempoh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) serta akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kedudukan lima pasukan Liga Perdana (LP1-LP5) akan dikemaskini selepas aksi terakhir liga iaitu pada hari Jumaat, 24 September ini.

"Sebarang perubahan dan pindaan kalendar serta Jadual Pertandingan MFL 2021 adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 MFL dan Fasa Pelan Pemulihan Negara.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 9:57pm
d