Afrika

Dipenjara 7 tahun kerana ulas produk secara negatif di media sosial

Oleh Agensi

Abuja: Wanita Nigeria yang menyiarkan ulasan produk tomato puri tin secara negatif berdepan hukuman penjara tujuh tahun atas dakwaan melanggar undang-undang jenayah siber negaranya.

Chioma Okoli, 39, menggunakan Facebook (FB) menyuarakan pendapatnya tentang tomato puri yang dibelinya, pada September tahun lalu.

Dia mendakwa, tomato itu mengandungi terlalu banyak gula dan meminta rakan dan pengikutnya menyatakan pendapat mereka juga.

Ulasan Okoli itu tular sehingga menghasilkan lebih 3,000 komen termasuk satu daripada seseorang yang mendakwa sebagai kakak kepada pengasas Erisco Foods Limited, syarikat yang membuat puri tomato dalam tin itu.

Mereka meminta Okoli berhenti menghina produk itu dan mencuba produk lain, namun wanita itu menggandakan dakwaannya, meminta individu itu meminta abangnya berhenti menipu orang dengan produknya.

Pada 24 September, semasa dia berada di gereja di Lagos, Okoli ditahan polis kerana didakwa menghasut Erisco Foods Limited dengan maklumat palsu di bawah Seksyen 24 (1) (B) Nigeria Akta Larangan Jenayah Siber.

Dia ditahan dalam sel bocor selama sehari sebelum diterbangkan ke ibu negara Nigeria, Abuja, dia dibebaskan dengan jaminan pentadbiran.

Pada 5 Oktober 2023, polis memfailkan kes mereka terhadap wanita itu dan perbicaraan mahkamah pertama berlaku dua bulan kemudian.

Seorang hakim mengeluarkan perintah sekatan, Okoli tidak boleh ditangkap tanpa perintah mahkamah, tetapi ibu hamil itu mendakwa, polis masih menemui cara untuk mengganggunya, seperti ketika mereka memasuki rumahnya pada Januari dan menghabiskan sepanjang hari di sana.

Erisco Foods Limited, syarikat yang membuat puri tomato itu turut memfailkan saman terhadap wanita itu AS$3 juta (RM14.17 juta) dengan dakwaan publisiti buruk itu menyebabkan masalah serius seperti kehilangan beberapa pembekal dan saluran kredit.

Okoli juga memfailkan samannya sendiri terhadap polis Nigeria dan Erisco Foods Limited ganti rugi sebanyak AS$361,171 (RM1.7 juta).

Sabit kesalahan, Okoli berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda AS$5,000 (RM23,621.25) atau kedua-duanya sekali.

Dia dijadualkan menjalani perbicaraan pada 18 April ini.

Disiarkan pada: April 1, 2024 @ 3:34pm
d