Afrika

Bayi terselamat selepas ditanam 'hidup-hidup' semalaman

Oleh Agensi

Kampala: Ajaib apabila bayi perempuan yang ditanam 'hidup-hidup' di Uganda selepas dilahirkan, diselamatkan selepas berjam-jam berada di dalam tanah.

Ibunya yang berusia 23 tahun mengebumikan bayi itu di sebuah taman pada tengah malam dan mangsa hanya dapat dikesan semula jam 11 pagi keesokannya.

Metro UK melaporkan, si ibu melahirkan anaknya tanpa sebarang bantuan perubatan dan bayi itu ditemukan selepas ahli keluarga lain menemukan kesan darah di taman berhampiran rumah mereka.

Paramedik bergegas ke taman untuk menyelamatkan bayi itu, yang plasenta dalam keadaan masih melekat.

Walaupun terselamat, bayi yang ditarik keluar dari tanah itu sudah dipenuhi luka dan lebam akibat tekanan kerana tertimbus di dalam tanah, semalaman.

Tubuh bayi itu terasa sejuk apabila disentuh dan warna kulitnya juga menjadi kebiruan selepas dikebumikan sepanjang malam.

Paramedik segera membersihkan tanah menyelaputi tubuh mungil itu, memisahkannya daripada plasenta dan memotong tali pusat. Selepas beberapa minit mereka mendengar tangisan lemah, sebelum membawa bayi comel itu ke hospital.

Setibanya di hospital, luka bayi itu dibersihkan dan disterilkan dan dia dimasukkan ke dalam inkubator.

Ujian mendapati bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan pada jantung, perut, atau mana-mana organ lain, dan dia dibenarkan untuk dibawa keluar dari hospital dalam masa enam hari sahaja.

Laporan kes itu diterbitkan dalam Jurnal Laporan Kes Perubatan Antarabangsa.

Bayi itu kini dibesarkan oleh neneknya. Semakan selepas enam bulan mendapati dia mengalami 'pertumbuhan normal'.

Sementara itu, ibu bayi ditahan oleh pihak berkuasa tempatan kerana cubaan membunuh mangsa, dan dilaporkan ditempatkan di pusat pemulihan, sebelum dipindahkan ke kemudahan psikiatri.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 2:44pm
d