Afrika

Bot karam, 90 penumpang maut

Oleh AFP

Maputo, Mozambique: Lebih 90 penumpang maut apabila sebuah bot yang penuh sesak karam di luar pantai utara Mozambique, kata pihak berkuasa tempatan, semalam.

Bot nelayan membawa kira-kira 130 penumpang itu menghadapi masalah ketika menghala ke sebuah pulau di luar wilayah Nampula.

"Oleh kerana bot itu sesak dan tidak sesuai untuk membawa penumpang, ia akhirnya karam, 91 orang dilaporkan maut," kata Setiausaha Negara Nampula, Jaime Neto.

Siasatan pihak berkuasa mendapati ramai kanak-kanak antara mangsa dalam tragedi itu.

Pasukan penyelamat menemukan lima mangsa yang terselamat dan usaha mencari lebih ramai mangsa masih hidup sedang dilakukan tetapi keadaan laut menyukarkan operasi.

Kebanyakan penumpang cuba melarikan diri dari tanah besar kerana panik disebabkan maklumat salah mengenai taun, kata Neto.

Negara di selatan Afrika itu, antara negara termiskin di dunia merekodkan hampir 15,000 kes penyakit bawaan air dan 32 kematian sejak Oktober, menurut data kerajaan.

Nampula adalah wilayah yang paling teruk terjejas akibat penyakit itu, menyumbang satu pertiga daripada semua kes.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, wilayah itu juga menerima kemasukan mereka yang melarikan diri daripada gelombang serangan di negara jiran, melalui utara Cabo Delgado.

Neto berkata, pasukan penyiasat sedang berusaha menyiasat punca tragedi bot itu.

Dua daripada lima mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital, kata pegawai itu.

Bot itu menuju ke Pulau Mozambique, sebuah pulau kecil yang pernah menjadi ibu kota Portugis Afrika Timur.

Disiarkan pada: April 8, 2024 @ 9:59am
d