Afrika

Lelaki pertama berlari merentasi benua Afrika

Oleh Reuters

Tunis: Pelari maraton ekstrem, Russ Cook menamatkan lariannya merentasi seluruh benua Afrika, di Tunisia, semalam.

Ia selepas dia mengembara melalui 16 negara selama 352 hari, termasuk pernah dirompak dengan individu bersenjata dan mengalami keracunan makanan.

Cook memulakan pengembaraannya pada April lalu di titik paling selatan di Afrika, perkampungan L'Agulhas di Afrika Selatan, dan meneruskan perjalanan ke pantai barat benua itu, dengan perjalanan sejauh lebih 16,000 kilometer.

"Orang pertama yang melalui seluruh Afrika. Misi selesai," kata Cook menerusi hantaran (posting) pada X.

Lelaki berusia 27 tahun itu melalui Namibia, Angola, Congo, , Cameroon, Nigeria, Benin, Togo, Ghana, Ivory Coast, Guinea, Senegal, Mauritania dan Algeria, sebelum tiba di Ras Angela, Tunisia.

Atlet endurance itu yang menggelarkan dirinya sebagai Hardest Geezer (Lelaki Paling Keras) juga mengumpul lebih daripada setengah juta pound untuk badan amal, sepanjang perjalanannya itu.

"Matlamat utama adalah untuk mencabar diri sendiri dan melakukan sesuatu yang luar biasa iaitu Hardest Geezer," kata Simon Klima dari platform amal Givestar kepada Reuters.

Klima berkata, setakat ini, hampir AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta) berjaya dikumpulkan untuk dua badan amal, Sandblast dan The Running Charity.

Cook ditemani oleh penyokong pada bahagian terakhir perjalanannya.

Warren Blake dari Amerika Syarikat memberitahu Reuters dia tidak boleh melepaskan peluang bersejarah itu.

Cook yang memakai jersi bola sepak England, tiba di penamat sambil melaungkan 'Geezer, geezer', dan memberitahu pemberita: "Saya agak letih".

Disiarkan pada: April 8, 2024 @ 11:53am
d