Afrika

Dua tahun tanggung mata bengkak

Oleh Agensi

Kinshasa, Republik Congo: Seorang wanita Afrika menanggung bengkak mata selama dua tahun, yang akhirnya disahkan akibat sejenis parasit yang hidup dalam ular.

Doktor yang merawat pesakit berusia 28 tahun itu terpinga-pinga apabila mendapati benjolan berkenaan berisi sesuatu yang luar biasa.

Bengkak itu bagaimanapun tidak menyakitkan, namun wanita terbabit menyedari ia semakin besar sejak dua tahun lalu.

Dalam prosedur rawatan dilakukan, doktor berjaya mengeluarkan parasit menyerupai cacing sepanjang 1.27 sentimeter di sudut mata kiri wanita itu.

Selepas beberapa ujian, pesakit disahkan mengalami jangkitan mata jarang berlaku dipanggil pentastomiasis okular, berpunca daripada parasit yang bertelur dalam ular.

Dikenali juga sebagai cacing lidah, ia boleh menular kepada manusia yang mempunyai hubungan rapat dengan ular yang dijangkiti atau jika mereka makan daging yang kurang masak.

Ketika ditanya, wanita berkenaan menafikan pernah mengendalikan ular atau memakan daging reptilia itu.

Bagaimanapun, dalam jurnal JAMA Opthalmology yang memuatkan kes itu, pakar menyatakan pesakit berkenaan sudah biasa makan daging buaya.

"Tiada kes jangkitan okular pernah dilaporkan pada individu yang makan daging buaya, tetapi buaya boleh dijangkiti pentastomid.

"Jadi, ada kemungkinan jangkitan berlaku apabila wanita itu memakan daging buaya yang mengandungi telur parasit.

"Daging ini juga mungkin tercemar melalui daging ular yang dijangkiti di pasar," katanya.

Pentastomiasis adalah jangkitan jarang yang paling biasa berlaku di Afrika, Malaysia dan Timur Tengah.

Dalam kebanyakan kes, pesakit tidak mempunyai simptom, namun jika ia menular ke mata, ia boleh menyebabkan sakit mata, glaukoma dan kehilangan penglihatan menyeluruh.

Rawatan untuk jangkitan ialah dengan membuat pembedahan bagi membuang parasit.

Disiarkan pada: April 14, 2024 @ 2:50pm
d