Amerika Selatan

Pulau paling padat penduduk di dunia

Oleh Agensi

Bogota: Pulau ini hanya seluas dua padang bola sepak, namun Santa Cruz del Islote dihuni kira-kira 1,200 orang, sekali gus menjadikannya pulau paling padat penduduk di dunia.

Ia sebenarnya adalah pulau buatan manusia di atas terumbu karang di Kepulauan San Bernardo di Laut Carribean. Pulau milik Colombia ini boleh diakses dengan perjalanan dua jam dengan menaiki bot dari tanah besar.

Menurut The Sun, dengan keluasan kira-kira satu hektar, penduduknya tinggal bersesak-sesak di kira-kira 97 rumah di pulau ini. Mereka mempunyai pertalian darah kerana ada kira-kira 45 keluarga di pulau ini.

Terdapat 10 kejiranan dan empat jalan utama, tetapi tiada kereta atau motosikal boleh melalui jalan kerana jarak yang amat dekat.

Malah, tiada polis yang mengawal pulau ini kerana setiap orang saling menjaga antara satu sama lain. Jadi, tiada siapa yang mengunci pintu dan tiada jenayah dilaporkan.

Lokasinya yang terpencil juga menyebabkan pulau ini tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektrik. Oleh itu, penduduk bergantung kepada penjana kuasa dan dua stesen panel solar untuk bekalan elektrik.

Bagi bekalan air bersih, ia dibawa masuk dari tanah besar. Pada masa sama, kebanyakan rumah juga membina struktur khas untuk mengumpul air hujan, namun air tidak dirawat itu membawa kepada masalah kesihatan termasuk penyakit kulit.

Saiz pulau yang kecil dan padat penduduk juga menyebabkan tidak ada ruang untuk tanah perkuburan. Jadi, penduduk yang meninggal dunia akan dikebumikan di tempat lain termasuk di pulau berdekatan

Menurut The Sun lagi, akses penjagaan kesihatan juga terhad apabila hanya sebuah klinik perubatan untuk penduduk pulau. Doktor pelawat akan datang ke sini setiap dua minggu.

Tetapi jika ada penyakit serius atau kecemasan, penduduknya akan mengutip sumbangan untuk menghantar individu terbabit bagi mendapatkan rawatan di tanah besar.

Santa Cruz del Islote juga berdepan masalah sampah kerana sisa yang sepatutnya dikutip setiap minggu terbiar hampir sebulan.

Dalam pada itu, pulau ini mempunyai sebuah sekolah, tetapi ia untuk pendidikan rendah. Penduduk tempatan berkata, anak mereka perlu ke tanah besar jika mahu menyambung pelajaran ke sekolah menengah.

Secara tradisinya, penduduk di sini bergantung kepada hasil laut untuk kelangsungan hidup, namun kini pulau ini turut meraih pendapatan susulan kedatangan pelancong.

Biarpun Santa Cruz del Islote tidak mempunyai pantai tetapi penduduknya ada cara tersendiri menarik ribuan pelawat setiap tahun.

Mereka menyediakan dua akuarium membolehkan pelancong berenang bersama hidupan marin termasuk penyu dan jerung.

Disiarkan pada: April 11, 2024 @ 9:19am
d