Amerika Selatan

Lelaki kurung diri dalam pusat pengedar kenderaan

Oleh Agensi

Buenos Aires: Seorang lelaki Argentina, baru-baru ini, mengurung dirinya di dalam sebuah pusat pengedar kenderaan bagi menuntut trak yang wang pendahuluannya sudah dibayar, lapor portal Oddity Central.

Abelardo Usandivaras menjadi tajuk utama berita antarabangsa dan dianggap simbol perjuangan orang biasa yang menentang amalan buruk pengedar kenderaan.

Lelaki pertengahan umur dari Metan, di Salta, itu tiba di Buenos Aires bersama keluarganya pada awal bulan ini. Dia terus ke pusat pengedar dan sepatutnya menerima trak baharu yang dibelinya.

Selepas gagal mendapatkan jawapan yang diperlukan dan mendapati dirinya tidak dapat menghubungi pemilik perniagaan, Usandivaras mengurung dirinya di dalam premis berkenaan.

Kisahnya tular di negara rantau Amerika Latin.

Menurut laporan Oddity Central, Usandivaras yang juga penternak kuda itu sebelum ini memutuskan untuk membeli trak baharu, pada tahun lepas.

Selepas berhubung dengan pengedar kenderaan di sini, dia memutuskan untuk menjual trak lamanya dan membuat bayaran pendahuluan untuk trak baharu itu, pada Disember lalu.

Segala-galanya berjalan lancar sehingga dia tidak pernah mendengar maklum balas daripada pengedar berkenaan selama kira-kira lima bulan, walaupun tarikh penghantaran dijanjikan dalam masa 120 hari.

"Sebenarnya mereka menawarkan trak yang tidak mereka miliki. Mereka menggunakan wang anda dan kemudian cuba membuat perjanjian lain kepada anda," katanya.

Lelaki itu mendakwa bahawa dia ditawarkan kereta lain untuk bayaran pendahuluan yang dibuatnya itu dan memberitahu bahawa dia perlu membayar tambahan, jika dia mahukan trak baharu.

Selepas kisahnya tular, syarikat itu akhirnya terpaksa membayar semula wang pendahuluan berkenaan.

Disiarkan pada: April 24, 2024 @ 2:43pm
d