Amerika Utara

Lelaki paling gemuk sudah boleh berjalan

Oleh Agensi

Mexico City: Lelaki yang pernah menjadi individu paling gemuk di dunia menunjukkan transformasi dramatik apabila berjaya menurunkan berat badan hasil diet dan iltizamnya mengubah gaya hidup.

Badan Juan Pedro Franco, 40, sebelum ini sangat besar dengan berat 591 kilogram (kg) menurut rekod Guiness World Records (GWR), menyamai lebih empat ekor anak gajah dan menyebabkan dia sukar bergerak walaupun ke tandas.

Dia yang mengalami masalah obesiti sejak kanak-kanak dengan berat capai 64kg pada usia enam tahun, bekerja keras untuk mengurangkan berat badan selepas hampir maut akibat obesiti.

"Saya cuba berdiet hari demi hari, tetapi tiada apa yang berhasil dan saya menjadi terdesak," kata Juan kepada GWR.

Menyedari tidak boleh berterusan dengan gaya hidupnya, Juan mula mencari pihak yang boleh membantu dengan pakar obesiti di Guadalajara, Mexico tampil membantu Juan menerusi pembedahan dan penukaran rutin gaya hidup lain.

Buat kali pertama, Juan dapat meninggalkan katilnya untuk ke hospital bagi menjalani pembedahan dan ketika di sana, dia disahkan menghidap diabetes jenis dua, tiroid, hipertensi dan cecair dalam paru-parunya.

"Perkara yang paling penting bagi saya adalah berjalan semula. Saya tidak keluar rumah selama enam tahun atau berjalan ke mana-mana," katanya.

Menjelang 2017, Juan kehilangan 170 kg dan dibenarkan menjalani pembedahan kedua, yang selepas itu memerlukan dia menukar gaya hidup, diet dan regim senaman sehingga beratnya kurang satu pertiga daripada berat terdahulu pada 2019.

Dalam tiga tahun kebelakangan ini, Juan kehilangan 330kg dan 260kg tahun lalu.

Disiarkan pada: April 22, 2024 @ 2:49pm
d